PETALING JAYA: UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) melancarkan platform ekosistem digitalnya yang pertama, Edgenta NXT, bagi memacu syarikat ke arah transformasi digital dan kemampanan organisasi dalam menyediakan perkhidmatan infrastruktur berasaskan awan yang menyeluruh di bawah Edgenta NXT Cloud.
Edgenta NXT memanfaatkan kepakaran inovasi sistemik UEM Edgenta dan menjadikannya harta intelektual berteknologi, meneroka penyelesaian berasaskan awan yang bermodelkan Software-as-a-Service (SaaS) untuk membangunkan sistem rangkaian penyelesaian yang menyeluruh.
Ini termasuk QuickMed, Smart Building, Smart Asset Management, Smart Project Management dan Smart Roadways disokong oleh Alibaba Cloud, tulang belakang teknologi digital dan kepintaran Alibaba Group.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrunizam Samsudin berkata, Edgenta NXT adalah perniagaan berasaskan teknologi UEM Edgenta yang sejajar dengan visi ‘Edgenta of the Future 2025’ (EoTF2025).
“Dengan teknologi yang menjadi pendorong untuk meningkatkan daya tahan perniagaan pada masa hadapan, platform ini wujud untuk memacu pertumbuhan yang mampan dan mencipta nilai bagi perniagaan pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan.
Platform ekosistem digital ini menyediakan tiga tawaran utama yang termasuk Edgenta NXT Cloud, Edgenta NXT Marketplace dan Edgenta NXT Procure untuk menyediakan pelanggan akses kepada pilihan penyelesaian pengurusan berasaskan awan proprietari yang akan menghubungkan, mengoptimum dan menyelaraskan operasi perniagaan mereka.
Menurut Syahrulnizam, syarikat percaya transformasi perniagaan yang berteraskan teknologi sangat penting untuk perniagaan terus kekal berdaya saing dalam ekonomi pasca Covid-19.
“Kami berada dalam kedudukan terbaik untuk membantu merapatkan jurang penggunaan teknologi di kalangan perniagaan.
“Kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi melalui penggunaan teknologi dan digitalisasi, jadi melalui platform ekosistem tempatan ini, kami dapat membantu meningkatkan perniagaan utama tempatan dalam pelbagai industri agar lebih bersedia pada masa hadapan,” tambahnya.
Edgenta NXT juga melancarkan produk penjagaan kesihatannya yang pertama – QuickMed, iaitu penyelesaian penjagaan kesihatan digital, bertujuan untuk meningkatkan kebolehcapaian dan kualiti penjagaan kesihatan dengan merapatkan jurang antara penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan dan masyarakat umum melalui platform penjagaan kesihatan pintar yang boleh diakses melalui aplikasi mudah alih. – UTUSAN










