KLANG: Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini hanya berbaki kira-kira 500 liang lahad untuk mengebumikan jenazah mangsa Covid-19 dan penduduk di kawasan sekitar.
Kiraan itu berdasarkan baki keluasan tanah yang belum digunakan dan setakat kelmarin sebanyak 120 jenazah mangsa Covid-19 sudah dikebumikan di situ dalam tempoh dua minggu lalu.
Memberitahu Utusan Malaysia, petugas di tanah perkuburan itu, Ahmad Nordin berkata, baki kira-kira 500 liang lahad ini sebenarnya cukup untuk penduduk tempatan mengebumikan jenazah ahli keluarga mereka yang meninggal dunia.
“Namun kawasan perkuburan ini agak cepat penuh sejak dipilih sebagai lokasi pengebumian bagi program pengurusan jenazah berpusat mangsa Covid-19 di Selangor,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu kelmarin.
Menurutnya, pada Sabtu lalu, sebanyak 21 jenazah mangsa Covid-19 dibawa dari Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dikebumikan di sini menjadikan jumlah keseluruhan jenazah yang dikebumikan sejak pelaksanaan program pengurusan jenazah berpusat meningkat kepada 120 jenazah
Ahmad memberitahu, sekurang-kurangnya lima jenazah mangsa Covid-19 dikebumikan setiap hari di kawasan itu menyebabkan, pihaknya perlu melakukan persediaan termasuk memastikan liang lahad siap digali bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pengebumian.
“Jenazah ini kebanyakan datang dari sekitar daerah Klang iaitu dari Andalas, Kampung Jawa, Kampung Delek, Bukit Tinggi dan lain-lain.
“Walaupun penat, saya bersama petugas lain masih mampu melakukan tuntutan fardhu kifayah itu selagi Allah SWT memberikan kudrat,” katanya.
Sebelum ini, dilaporkan Kerajaan Negeri Selangor mengambil inisiatif melaksanakan pengurusan jenazah Covid-19 secara berpusat bagi membantu mengatasi kesesakan di jabatan forensik di hospital-hospital negeri ini.
Program pengurusan jenazah secara berpusat itu juga secara tidak langsung mengelakkan waris bagi mangsa-mangsa yang terkorban akibat Covid-19 tidak menunggu terlalu lama.
Selain Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Selangor turut menjadikan Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di Shah Alam sebagai tempat pengebumian jenazah mangsa Covid-19.
Bagi jenazah bukan Islam, waris ahli keluarga perlu merujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menentukan lokasi pengebumian dan pengurusan krematorium yang bersesuaian. – UTUSAN











