MUKADIMAH
Seminggu dua ini, heboh diperkatakan isu membabitkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Namun, tolak ke tepi polemik mereka, masing-masing ternyata memainkan peranan memenuhi tuntutan kemasyarakatan. Ada yang membawa misi besar dengan penampilan segak, ada pula sebaliknya.
Pun begitu, seorang daripada mereka memang ‘lain macam’ sikit gayanya. Saban waktu cuma berkemeja-T, menyarungkan seluar denim dan berselipar. Namun tak henti-henti ke sana ke mari menghulur bantuan.
Beliau yang dimaksudkan ialah Kuan Chee Heng, 58 yang mesra disapa ‘Uncle Kentang’. Pengasas Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia (CP) ini cukup ranggi dan kelakar, namun di sebalik senyum dan seloroh, tersimpan kisah silam yang sarat air mata lantaran kesempitan hidup.
Ikuti wawancara ini yang disertai wartawan Mingguan Malaysia, ROSHIHAN ANNUAR YUB, FAHMI FAIZ, juruvideo MOHD. FIKRI FADZIL dan jurugambar AHMAD FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR.
Dalam wawancara ini, beliau mengulas isu ketelusan dana NGO, ketaksuban personaliti selain juga tindakan beliau ‘masuk’ politik sampai didakwa cuba pecahkan undi. Sepanjang wawancara juga, banyak kali terhenti lantaran menerima panggilan bertubi-tubi memohon bantuan.
MINGGUAN MALAYSIA: Macam mana perkembangan semasa NGO Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia (CP) sekarang?
KUAN: Kita sedang mendapatkan tarikh untuk berbincang dengan Ketua Polis Negara berkenaan beberapa perkara yang tidak dapat saya sampaikan sekarang. Saya percaya dan yakin Ketua Polis Negara dapat mengubah suai (pendekatan bersama) CP dalam era pandemik ini. Seperti sekarang fungsi kami adalah sebagai pemberi bantuan dan maklumat. Maksudnya kalau kami dapat panggilan dari Kedah, kami akan hubungi CP di Kedah untuk pengesahan, sama ada mereka benar-benar perlukan bantuan dan sebagainya.
Kenapa Ketua Polis Negara?
Ada beberapa perkara yang telah berlaku kita perlu cari titik, melalui arahan dan amanat beliau.
Maksudnya kalau kata putus dari Ketua Polis Negara negatif, ada gerak kerja CP yang terkesan?
Bukan. Maksudnya penyelarasan itu. Ini kerana setiap Ketua Polis Negara ada misi dan visinya tertentu. Saya belum buat kunjungan hormat lagi kepada beliau.
Boleh cerita sejarah ringkas tuan terlibat aktif dalam kerja kebajikan dan kemasyarakatan ini? Bagaimana bermula?
Kita tak panggil kita ini sedekah (charity), kita panggil penyelesai masalah (solution provider). Sedekah ini orang kaya yang beri. Kita lebih kepada konsep membantu, beri makanan, pasar dan perpustakaan 10 sen. Semua ada penyelesaian di dalamnya.
Contohnya?
Contoh dari pasar 10 sen, kita buat seperti orang berkongsi harta dan rezeki. Bagus dari segi pencegahan jenayah. Kalau kita lihat ada kawasan yang banyak berlakunya gejala sosial, ia berlaku kerana komuniti ini terasing dan terbiar, dan tidak dikasih sayangi. Ia boleh elakkan dari holding dan boleh recycle. Tempat untuk bersedekah bagi orang yang ingin bersedekah. Masyarakat pun boleh belanja tanpa bebanan. Hanya 10 sen. Semua 10 sen, peti ais, televisyen, mesin basuh, sehingga sejadah pun harga 10 sen. Jadi orang akan kurangkan kos sara hidup dalam bandar. Pada waktu sama, ia mewujudkan satu perhubungan baik antara penduduk di sekitar itu. Pasar ini nampak mudah, tetapi di dalamnya banyak intipati yang kita tidak tahu.
Bila pasar 10 sen ini diwujudkan?
Sudah lama. Beberapa tahun lepas.
JENIS BANTUAN
Selain pasar 10 sen, apa lagi bantuan yang CP beri?
Dari pasar 10 sen, kita dapat pelbagai maklumat. Terutamanya kaum wanita yang dilihat lebih mementingkan ahli keluarga terutamanya dalam hal kesihatan. Bila pentingkan kesihatan ahli keluarga, mereka lupa kesihatan mereka juga merudum dan jadi lebih teruk. Jadi, di sinilah fungsinya teksi 10 sen. Maksudnya mereka telefon, dan teksi ini akan ambil di rumah dan terus bawa ke hospital. Ini sekali gus menggalakkan mereka untuk sentiasa dapatkan rawatan jika berlaku kecemasan. Jadi selepas itu kita buat servis ambulan pula, dan selepas itu bila ada yang meninggal dunia dan ada jenazah yang perlu dibawa pulang ke kampung kita buat pula van jenazah. Jadi bila perkara sebegini menimpa keluarga yang kurang mampu, bagaimana mereka ingin jaga anak-anak mereka? Jadi kita buat perpustakaan 10 sen. Supaya mereka boleh tempatkan anak-anak di sini jika berlakunya kecemasan. Sekali gus anak-anak mereka ada tempat menunggu dan boleh mengelakkan dari berlakunya sebarang ancaman jenayah yang tidak diingini. Jadi saya juga ingin menyeru kepada kerajaan, jika bina rumah-rumah pangsa ini pastikan ada pusat jagaan komuniti. Ini patut dalam perancangan awal. Tidak boleh selepas siap bina, baru nak cari tempat. Perlu ada pusat jagaan kanak-kanak yang luas, selamat dan selesa.
Selain di Lembah Klang, di mana lagi NGO tuan bergerak aktif?
Kita aktif di seluruh semenanjung, kecuali Sabah dan Sarawak.
PENGALAMAN SEBAGAI POLIS
Dahulu tuan pernah jadi anggota polis. Bagaimana pengalaman itu membantu usaha kebajikan tuan sekarang?
Polis ini slogannya sentiasa berkhidmat. Sehinggakan ada yang tafsir, P.O.L.I.S itu sebagai, ‘Pasal Orang Lain Ia Susah’. Dia jaga daripada hidup sampai mati.
Cerita sikit tentang Anugerah Komanwel yang tuan terima?
Anugerah itu bukan untuk saya seorang, tetapi untuk semua yang terlibat, contohnya pekerja, penderma, pendoa dan juga pihak media sendiri. Kalau tak ada media, bagaimana ada Uncle Kentang kan? Semua ini adalah orang yang hebat. Jadi secara jujurnya saya beritahu, anugerah itu bukan untuk saya, itu untuk Malaysia. Saya pun tak sangka terima anugerah itu. Kekuatan saya hari ini adalah bergantung kepada kekuatan orang ramai.
Berapa ramai pekerja tuan hari ini?
Ada 40 pekerja yang berbayar. Sukarelawan ramai beribu-ribu. Tetapi untuk fungsi tertentu seperti pemandu ambulans, van jenazah dan sebagainya kita memang ada pekerja tetap untuk mengendalikannya.
PANDANG SERONG
Komen mengenai isu berhubung tokoh-tokoh NGO yang tular baru-baru ini?
Saya malas nak komen. Kita buat kerana Tuhan. Setiap celaan, tohmahan dan kutukan dari orang tidak perlu kita endahkan. Kerana kita bukan jawab dengan manusia tapi kena jawab dengan Tuhan. Kalau kita buat itu benar, kita tak perlu jawab pada orang yang sangsi dengan kerja kita. Tapi bila kita buat tak benar, hanya lakonan akhirnya ia akan terbongkar. Itu sahaja. Saya rasa yang paling penting adalah jawab dengan Tuhan. Dan kalau kamu tak boleh jawab dengan Tuhan, kamu tak akan boleh jawab dengan manusia.
Adakah sengketa yang melibatkan mereka menjejaskan reputasi tuan?
Saya ambil pendekatan mudah, kalau sesuatu itu nak terjadi, maka terjadilah. Sebenarnya saya tak mahu ambil tahu pun apa yang berlaku. Kamu kena ambil tahu apa yang dengan Tuhan. Kenapa nak sibuk-sibuk ambil tahu pasal orang lain? Bagi saya orang lain tidak mainkan apa-apa peranan pun. Yang paling penting, hati kita, jiwa kita dan agenda kita Tuhan tahu. Mungkin di dunia kita boleh berlakon, tetapi di akhirat nanti kita akan dipersoalkan. Malaysia ada 36 juta orang, Tuhan hanya satu sahaja. Jika kamu berjaya jawab dengan yang satu, maka terjawablah untuk yang 36 juta orang itu. Tetapi kalau dengan Tuhan yang satu pun tak boleh jawab, macam mana nak jawab dengan yang 36 juta itu? Bagi saya kalau ada yang persoalkan tidak telus, memang ada orang yang iri hati dan yang tak sehaluan dengan kita. Tapi biarlah sama-sama kita buat kebajikan dan sama-sama mencari jalan yang baik untuk ke akhirat. Itu yang paling penting.
DANA
Ramai yang mempertikaikan ketelusan dana-dana yang diterima oleh NGO tanpa ada sebarang audit. Boleh tuan jelaskan?
Kita pun memang ada audit, tetapi audit ini pun boleh dipertikaikan. Kita pun fahamlah tambahan dalam dunia sukarelawan ini. Macam saya banyak yang beri duit sumbangan, tapi kita kena jawab dengan Tuhanlah. Apa yang kita lakukan di dunia ini akhirnya akan sampai di akhirat nanti. Audit yang paling benar, adalah audit dengan Tuhan.
Sumbangan yang biasa tuan terima dari mana?
Dari hantu. Hantu-hantu yang tak ada nama. Mereka masukkan duit tanpa beri nama. Hantu-hantu yang baik hati. Di Malaysia ini banyak hantu yang baik hati. Kita buat kerja kebajikan beri makanan, ambulan, van jenazah jadi ramai yang membantu.
Kalau boleh kongsi jumlah dana yang tuan dapat setiap bulan?
Bergantung kepada keadaan. Kalau saya nak beli van jenazah, dalam masa satu malam pun saya boleh dapat RM100,000 lebih. Terpulang apa misi kamu. Contohnya, kalau malam ini saya mahu dapatkan dana untuk beli van jenazah, bila sudah cukup saya tutuplah. Kita buat mission by mission. Bila kita perlukan sesuatu kita cari dana, dan bila cukup terus tutup. Saya tak mahu cerita bab NGO lain, saya cerita untuk NGO saya sahaja. Ini amanah tuhan. Bukan sekadar nak publisiti untuk dapatkan like di Facebook. Setiap apa yang kita buat perlu ada izin tuhan. Kalau tuhan tak izinkan memang tak akan jadi.
CULT OF PERSONALITY
Ramai terlalu taksub dengan tokoh NGO sampai mencetuskan ketaksuban personaliti (cult of personality), malah lebih diangkat berbanding ahli politik, komen?
Itu memang (lumrah), dan sekarang orang politik ini dipandang rendah. Kalau pasal ketaksuban, jangan taksub, sebab kita hanya perlu yakin dengan Tuhan saja. Jadi yang orang ini, mereka terlalu taksub. Untuk saya, tiada yang taksub, mereka yakin dan percaya dengan saya. Saya sudah 30 tahun lebih (dalam kerja kebajikan), bukan setakat orang kata baru setahun dua.
Memandangkan pengaruh dan pengikut sedia ada, seringkah tokoh NGO ‘didekati’ parti-parti politik?
Itu terpulang kepada diri sendiri. Saya tiada yang panggil saya masuk politik.
Tapi dulu tuan bertanding bebas di Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih?
Macam mana saya masuk PRK itu? Bila PRK Semenyih itu, kita hendak cari orang susah. Sana ramai orang susah, betul tak? Kawasan itu jauh dari hospital awam semua, jadi kita mahu tonjolkan diri di sana untuk mereka senang berhubung, itu saja.
Bukan sebab mahu pecahkan undi di sana?
(Tertawa). Itu kepala otak merekalah (yang tuduh), sebab kita tahu kita tak akan menang pun, betul tak? Tapi tujuan kita itu apa? Tujuan kita, pergi sana untuk maklumkan kepada mereka. Saya nak cerita terus terang. Bila ayah saya meninggal, kami tiada duit dan terpaksa letak mayat dan tunggu orang sumbangkan keranda. Saya pergi ke sekolah, saya tak ke kantin. Bila rehat saya akan lari ke tandas, saya akan minum air paip untuk kenyangkan perut. Saya pernah mengalami semua itu.
Kalau boleh imbas kembali pengalaman getir sewaktu membesar?
Saya bukan lahir dari keluarga senang. Balik sekolah, saya kena tarik kayu getah yang jatuh, bawa balik rumah untuk dibuat kayu api di Batu Pahat. Saya pergi sekolah, saya tak beli seluar dalam. Yang ada, kalau dipakai ia londeh sampai ke bawah sebab itu orang beri. Kami tiada duit nak beli. Kecil-kecil saya dah jual lontong. Saya tiada duit, saya pergi gerai ambil 10 lontong, tambah untuk saya satu percuma, saya bawa ke sekolah dan jual. Saya cari makan macam itu. Malah saya pernah kena lempang dengan cikgu, sebab saya letak baju di luar. Cikgu cakap saya kurang ajar, tapi sebenarnya seluar saya londeh, saya ikat dengan tali rafia (menitiskan air mata).
‘SAYA BUKAN MESIN ATM’
Benarkah tuan hampir muflis sebab banyak tolong orang?
Bukan, saya tulis ‘muflis’ dalam rencana yang saya tulis itu, supaya orang ramai janganlah ambil duit sewenang-wenangnya. Dalam sedekah ini, kalau kita bersedekah kita tak akan jatuh muflis. Sebenarnya rencana muflis itu untuk memaklumkan kepada orang, janganlah datang sewenang-wenangnya, macam saya ini mesin ATM di bank (tertawa). Cucuk dapat, cucuk dapat, matilah. Tapi kalau susah, kalau betul-betul kamu susah, datanglah jumpa saya.
Macam mana definisikan orang yang betul-betul susah?
Senang saja, orang yang betul-betul susah ini, coraknya (pattern) mereka lain. Ada trend sendiri, dan kita boleh baca. Dah lama sangat, kita boleh baca. Macam kamu buat berita, kamu boleh tahu (sumber) itu kelentong kamu atau tidak, kamu dah boleh tahu. Jadi bila orang minta (duit dan bantuan) itu, daripada mesej telefon pun kita boleh tahu sama ada mereka kelentong atau tidak.
‘BUKAN MOYANG KATAK PURU’
Macam mana nak wujudkan Malaysia yang lebih harmoni?
Moyang kamu Adam dan Hawa, moyang saya juga Adam dan Hawa. Apa ingat moyang saya daripada batu atau kayu, atau dari katak puru (tertawa)? Bukan. Sebab itu kita kena berkongsi kasih sayang dan tak boleh beza-membezakan. Saya tak pilih dilahirkan Cina, kamu tak pilih kamu dilahirkan Melayu. Jadi apa lagi yang hendak kita pertikaikan? Sebab itu kita dilahirkan berbeza-beza, supaya saling sayang menyayangi. Kalau muka semua perempuan itu sama, kita balik rumah, kita nak cari isteri di mana? Sebab muka perempuan semua sama saja, kita pun tak tahu siapa isteri kita (tertawa).










