PETALING JAYA: Sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu susut 7.3 peratus, mengatasi KDNK negara dan bukan PKS masing-masing negatif 5.6 dan 4.6 peratus.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, ia merupakan kali pertama prestasi KDNK PKS lebih rendah berbanding KDNK negara dan bukan PKS.
Jelasnya, sumbangan KDNK PKS mengecil kepada 38.2 peratus tahun lalu, dengan nilai ditambah sebanyak RM512.8 bilion berbanding 38.9 peratus atau RM553.5 bilion tahun sebelumnya.
Beliau berkata, KDNK PKS bagi semua sektor merekodkan prestasi negatif tahun lalu, dengan nilai ditambah PKS bagi sektor perkhidmatan susut 9.2 peratus daripada 7.5 peratus 2019.
“Kemerosotan momentum ini disebabkan oleh penurunan bagi subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan yang mencatatkan prestasi negatif 7.8 peratus. Subsektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan turut susut kepada 10.6 peratus,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Uzir berkata, PKS bagi sektor pembinaan turut merosot 15.4 peratus disumbangkan oleh kejatuhan dalam semua subsektor, manakala PKS bagi sektor perlombongabn dan pengkuarian jatuh 7.1 peratus, PKS sektor pertanian (susut 0.3 peratus).
Sumbangan eksport PKS kepada jumlah eksport tahun lalu katanya beliau, adalah 13.5 peratus di mana 9.4 peratus daripada sektor pembuatan.
“Eksport PKS mencatatkan penurunan 33.1 peratus kepada RM117.8 bilion pada 2020 berbanding
pertumbuhan 2.6 peratus pada 2019, disebabkan oleh sektor operkhidmatan (-62.1 peratus) dan pembuatan (-3.6 peratus).
“Destinasi utama pada 2020 adalah China (70.3 peratus), Singapura (8.3 peratus) dan Hong Kong (6.1 peratus),” katanya.
Mengenai guna tenaga PKS tahun lalu, Mohd. Uzir berkata, penurunan lebih besar berbanding guna tenaga nasional, menunjukkan PKS lebih terkesan dengan pandemik.
Katanya, guna tenaga PKS mencatatkan penurunan 0.9 peratus kepada 7.3 juta orang pada 2020, meliputi 48.0 peratus daripada guna tenaga nasional (2019: 48.4 peratus).
“Segmen ekonomi yang mudah terkesan terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana dilihat akan terus berhadapan dengan cabaran dalam waktu terdekat ini.
“PKS akan mengalami kesan yang lebih sukar dalam tempoh pemulihan terutamanya semasa pertengahan krisis kesihatan yang berpanjangan disebabkan oleh peningkatan kes Covid-19 serta sekatan sosial dan ekonomi yang telah dikenakan di seluruh negara.
“Walau bagaimanapun, melalui pelbagai inisiatif berdasarkan kepada pakej rangsangan ekonomi bagi PKS yang telah mula diperkenalkan oleh kerajaan diharap dapat
mengatasi kesan Covid-19 kepada masyarakat dan ekonomi khususnya PKS,” katanya. – UTUSAN









