Sejak negara dilanda pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi mengawal penularan jangkitan, mungkin ada yang sudah lama tidak menjejakkan kaki ke pasar malam.
Malah, aktiviti itu juga tidak digalakkan bagi mengelakkan orang ramai berkumpul dan bersesak sehingga boleh mencetuskan kluster jangkitan.
Kini, kemeriahan pasar malam dikembalikan melalui aplikasi penstriman popular, Bigo Live yang membawakan acara itu secara maya kepada orang ramai.
Diadakan pada 23 dan 30 Julai ini, ia bagi menggalakkan orang ramai membeli-belah hanya dari rumah. Ini sekali gus terus mematuhi standard operasi prosedur (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
Ia bukan sahaja dapat mengembalikan kemeriahan pasar malam kepada pembeli yang rindukan suasana berkenaan, malah ia dapat membantu peniaga yang terkesan untuk berniaga secara dalam talian.

Acara Bigo Pasar Malam itu bekerjasama dengan 50 penjual yang akan berniaga secara strim di platform berkenaan dari 8 hingga 10 malam.
Sama seperti pasar malam terdahulu, acara itu menawarkan pelbagai barangan yang biasanya ada di pasar malam seperti makanan, baju, gajet, aksesori, perkakas rumah, kosmetik dan banyak lagi.
Menurut Bigo, acara e-dagang ini adalah yang pertama dijalankan bagi membantu masyarakat yang terkesan sepanjang PKP yang masih tidak berkesudahan ini.
Bagi yang berminat boleh mengunjungi Bigo Pasar Malam melalui tab Pasar Malam yang disediakan dalam aplikasi tersebut dan berpeluang memenangi pelbagai tawaran menarik seperti penghantaran percuma dan promosi menarik.











