Setiap kali membeli belah di pasar raya, kita pasti akan menerima beg kertas.
Ada yang diperbuat daripada kertas kosong atau hadir bersama rekaan yang unik. Pelbagai corak dan warna, indah bagaikan kanvas lukisan.
Elemen itu cukup menawan hati pengumpul beg kertas, Hamizah Othman, 53 untuk memilikinya sebagai koleksi peribadi bernilai tinggi.
Setiap kali membeli-belah di pusat beli-belah, hati Hamizah pasti teruja kerana tahu bakal mendapat beg kertas. Kalau lima kedai dikunjungi, dia pasti akan membawa pulang ke semua lima beg kertas daripada kedai berkenaan.
Lagi cantik dan unik rekaan beg kertas yang diperoleh, lagi puas hatinya.
Hamizah yang berkhidmat sebagai pegawai belian di sebuah syarikat swasta, di Shah Alam, mula mengumpul dan menyimpan beg-beg kertas sejak 1990.
Beliau tidak pernah merancang akan mempunyai hobi itu. Segala-galanya berlaku tanpa dirancang.
“Sesetengah orang hanya menganggap beg kertas adalah sekadar bekas untuk membungkus dan menyimpan barang yang dibeli.
“Bagi saya nilai beg ini amat tinggi. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai hobi menyimpan dan mengumpul beg kertas,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Antara yang paling digemari ialah beg kertas Parkson KLCC kerana warna keemasan beg tersebut. Malah beg kertas itu, masih sangat cantik walaupun disimpan selama beberapa tahun.
Beg kertas paling berharga pernah ada dalam simpanannya itu diperoleh sewaktu membeli-belah di Yaohan dan Mun Loong.
Bagi Hamizah beg-beg kertas itu amat berharga kerana ada pusat beli-belah tersebut sudah tidak ada lagi di Malaysia.

BUKAN REMEH
Hamizah mula menyimpan beg kertas sejak mula bekerja dan pegangan duit sendiri.
“Kebanyakan pusat beli-belah ini ada memberikan beg kertas secara percuma. Kebanyakan beg mempunyai rekaan yang cantik dan menarik terutamanya kalau tiba musim perayaan.
“Setiap kali saya dapat beg kertas yang cantik, pasti saya rasa sayang untuk membuangnya. Beg itu saya simpan dengan elok supaya bentuknya kekal tampak baharu,” katanya.
Bertitik tolak daripada situlah Hamizah mula menyimpan dan kumpul beg kertas yang dia dapat.
“Setiap kali membeli di pusat beli-belah, saya juga akan pastikan saya dapat beg kertas. Kalau ada pilihan beg plastik atau beg kertas, saya tidak segan silu meminta beg kertas,” katanya.
SEJAK PKP TIDAK DAPAT TAMBAH KOLEKSI
Beg kertas yang berada dalam koleksi simpanan Hamizah, diperoleh secara percuma di kedai yang dikunjunginya.
Namun begitu ada sesetengah pusat beli-belah yang menetapkan had pembelian tertentu kepada pelanggan sebelum boleh mendapatkan beg kertas.
Bagaimanapun, itu bukanlah penghalang kepada Hamizah untuk membawa pulang beg kertas yang diinginkan.
“Apa cara yang saya buat untuk dapatkan beg kertas itu? Selalunya kalau pembelian barangan saya pada hari itu kurang daripada had yang ditetapkan untuk mendapatkan beg kertas, saya sanggup beli lagi barangan lain semata-mata untuk mendapatkan beg kertas tersebut.
“Bagi saya menyimpan dan mengumpul beg kertas ini memberikan kepuasan yang tersendiri.
“Saya puas jika dapat kumpul beg kertas yang mempunyai rekaan yang cantik, lebih-lebih lagi jika beg berkenaan dihasilkan untuk hari istimewa iaitu pada musim perayaan, hari merdeka atau jualan hujung tahun,” katanya.
Hingga kini Hamizah masih lagi menyimpan beg kertas. Namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hobi berkenaan tergenda.
“Hobi saya sekarang terhenti buat seketika sebab tidak boleh keluar membeli-belah.
“Membeli-belah secara dalam talian kurang saya gemari sebab ia tidak disertakan dengan beg kertas, hanya kotak,” kata Hamizah meluah rasa terkilan dek situasi pandemik waktu ini.
PEROLEH BEKALAN
Selain mengumpul sendiri beg berkenaan menerusi aktiviti membeli-belah, Hamizah turut memperolehinya daripada ahli keluarga dan rakan-rakan di tempat kerjanya yang maklum terhadap minat dan hobinya itu.
“Kalau ada beg kertas yang cantik, mereka pasti akan berikan kepada saya,” katanya.
Hamizah berkata, walaupun ada yang memperlekehkan hobinya, namun dia menegaskan hobi berkenaan adalah berbaloi.
“Berbaloilah, sebab itu saya simpan. Ia juga adalah suatu rakaman sejarah. Saya ada beg bertarikh 2007, sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM),” katanya.
Ia adalah acara besar-besaran yang dianjurkan di Malaysia untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50 negara waktu itu.
“Ia edisi TMM Malaysia yang ketiga, selepas dua usaha sedemikian pada tahun 1990 dan 1994. Acara ini dimulakan pada 1 Januari 2007,” jelasnya.

PERNAH CECAH RIBUAN KEPING
Memastikan koleksi beg kertas berkenaan bertahan lebih lama, Hamizah amat menitik beratkan aspek penjagaannya termasuk daripada segi kebersihan produk berkenaan.
“Beg kertas ini saya simpan dalam beg bagasi atau beg pakaian yang besar. Saya susun beg itu dengan rapi supaya bentuknya tidak lari. Beg pakaian itu kemudiannya saya simpan di dalam loteng rumah dan stor di bawah tangga,” katanya.
Ruang kediaman rumah double storey yang luas membolehkan koleksi kesayangannya itu terjaga rapi.
Mengulas mengenai cabaran hobi mengumpul beg kertas, Hamizah berkata ia membabitkan isu tempat penyimpanan.
“Produk ini mesti diletakkan di tempat kering dan bebas daripada unsur lembab seperti air. Kelembapan musuh beg kerana ia akan merosakkan beg-beg yang diperbuat daripada kertas dan jerami,” katanya.
Pernah memiliki hingga ribuan keping beg pada satu-satu masa, namun Hamizah memberitahu ia hanya tinggal kenangan.
“Sekarang saya cuma ada dalam 200 beg sahaja. Ini kerana kebanyakan beg-beg kertas saya itu telah rosak akibat dimakan oleh anai-anai,” katanya berterus terang.
Bagi mereka yang berminat mengumpul beg kertas, Hamizah memberitahu, simpan produk berkenaan dengan rapi dan tidak mempertontonkan secara jelas di dalam rumah.
“Kalau boleh jangan dipertontonkan beg kertas itu kerana ramai juga yang berminat untuk mengambilnya tanpa pengetahuan kita. Saya tahu sebab saya pernah melalui situasi ini,” katanya.










