Kenapa varian Delta berbahaya? - Utusan Malaysia

Kenapa varian Delta berbahaya?

Kumpulan tidak divaksinasi paling berisiko terhadap varian Delta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika dunia bergelut mencari penawar ampuh bagi menangani wabak Covid-19, kita dikejutkan pula dengan kehadiran varian baharu yang bermutasi daripada virus asal yang ditemukan di Wuhan, China pada hujung 2019.

Antaranya, varian Delta yang kini amat digeruni. Kenapa ia lebih berbahaya?

Menurut Ketua Unit dan Pakar Perunding Kecemasan Hospital Pakar KPJ Johor, Prof Dr. Rashidi Ahmad, genetik virus varian merubah struktur dan kelakuan virus asal dan keberkesanan vaksin yang sedia ada.

Jangkitan virus Alpha dan Delta cepat merebak dan menyebabkan simptom yang teruk dan terpaksa dirawat di hospital.

Katanya di United Kingdom, data statistik menunjukkan 90 peratus kes jangkitan disebabkan oleh varian Delta dan Alpha .

“Kebolehjangkitan varian Delta adalah 55 peratus berbanding Alpha dan kebolehjangkitan Alpha varian pula adalah 50 peratus berbanding virus Covid-19 asal.

“Perkara yang lebih mengejutkan ialah varian Delta menyebabkan kadar kematian 64 peratus lebih tinggi dari varus asal. Di Brazil, varian Gamma menyebabkan kadar jangkitan Covid-19 mendadak naik dalam kalangan orang muda berbanding dengan orang tua sebelumnya. Kadar kematian turut meningkat tiga kali ganda berbanding jangkitan Covid-19 asli,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas langkah pencegahan varian ini, beliau memberitahu menghalang penyebaran Covid-19 adalah kaedah yang paling utama.

“Patuhilah penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter, sentiasa membasuh tangan dengan sabun atau menggunakan sanitizer, pakai topeng pembedahan atau N95 dan elakkan berada di tempat yang sesak dengan orang ramai,” katanya.

Dr. Rahidi turut mengingatkan orang ramai untuk menerima vaksin, terutama individu berisiko tinggi seperti orang-orang tua dan yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

“Vaksin bukan berperanan menghalang jangkitan semata-mata. Sebaliknya ia membantu tubuh memiliki sistem imun kuat supaya sekiranya kita dijangkiti, gejalanya tidak teruk,” katanya.

Sekiranya program suntikan vaksinasi penduduk Malaysia berjaya mencapai lebih daripada 80 peratus, ia mampu mengurangkan penularan wabak ini bahkan kadar penggunaan atau beban sistem kesihatan negara juga akan berkurangan.

VARIAN DELTA:

• Lebih mudah menular berbanding varian lain.

• Sebanyak 40 hingga 60 peratus lebih mudah ditularkan berbanding varian Alpha yang dominan di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

• Lebih mudah ditularkan daripada varian asal virus yang pertama kali dikesan di Wuhan.

• Pertama kali dikesan di India dan ia lebih berbahaya berbanding varian lain.

• Kajian mendapati pesakit dijangkiti varian Delta, dua kali ganda berkemungkinan di masukkan ke hospital berbanding pesakit dijangkiti varian Alpha.

• Gejala dihidap pesakit, berbeza dengan simptom Covid-19 biasa, sekali gus memudahkan individu dijangkiti menyebarkan virus itu secara tidak sengaja.

• Kumpulan yang tidak divaksinasi merupakan golongan paling berisiko terhadap varian Delta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×