Kemahiran menulis merupakan salah satu yang perlu dikuasai oleh anak-anak seawal usia empat hingga lima tahun. Namun, setiap perkembangan anak-anak ini berbeza. Mungkin ada yang boleh pegang pensel sendiri tanpa perlu diajar dan ada yang sebaliknya.
Justeru, ibu dan bapa perlu memainkan peranan dalam melatih mereka menulis. Sudah pasti untuk permulaan bukanlah perkara yang mudah. Jika dipaksa dan tak kena cara, pasti si cilik boleh mengamuk dan tidak mahu melakukan aktiviti tersebut.
Menurut editor penerbit buku Wasapower Marketing, Syahida Shahrel, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk melatih anak belajar atau minat menulis.
“Menulis merupakan satu kemahiran yang perlu dipelajari sejak kecil. Dalam kemahiran berbahasa, kemahiran menulis merupakan kemahiran yang paling sukar untuk dikuasai.
“Ia berada pada tahap yang lebih tinggi daripada kemahiran mendengar, bertutur dan membaca kerana melibatkan aspek fizikal iaitu kemahiran motor halus dan koordinasi mata dan tangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Syahida, anak perlu dibimbing dari peringkat awal lagi supaya boleh menulis.
“Bermula dengan aktiviti menconteng, mewarna, menyalur, menyambung garis putus-putus dan menyalin, kesemua aktiviti ini perlu dilalui oleh anak supaya mahir menulis. Asasnya, anak-anak perlu banyak melakukan latihan untuk mahir menulis,” katanya.
Dalam pada itu, Syahida berkongsi tiga tips mengajar anak memegang pensel yang membantu mereka menulis.
1. Ajar teknik asas pegang pensel yang dinamakan sebagai Tripod Grasp (menggunakan tiga jari).
Tripod Grasp ialah ibu jari, telunjuk dan jari tengah membentuk segi tiga manakala jari manis dan kelingking menyokong jari tengah. Pensel harus diletakkan antara tiga jari.
Kemampuan memegang pensel si cilik akan melalui beberapa proses. Pada awalnya si cilik akan menggenggam dengan cara mengepal alat tulis, seterusnya memegang dari bahagian atas.
Kemudian memegang dengan banyak jari di bahagian tengah pensel, sehingga akhirnya mereka boleh memegang dengan posisi tripod. Boleh juga belikan anak pencil holder, hanya sarung ke pensel dan anak boleh pegang pensel dengan lebih mudah.
2. Gunakan pensel yang pendek atau sesuai dengan saiz tangan anak.
Untuk permulaan, penting untuk perkenalkan kepada anak, pensel atau krayon yang pendek. Ini kerana pensel bersaiz panjang akan menjadi beban pada tangan.
Sebaliknya jika guna yang pendek, lebih mudah untuk mereka pegang dan kendalikan.

3. Buat aktiviti seperti melukis sambung titik ke titik secara berperingkat.
Terdapat banyak aktiviti menulis yang boleh dilakukan bersama di rumah. Salah satu daripadanya adalah dengan mengajar mereka melukis sambungan ke titik secara berperingkat.
Dengan hanya mengikuti garis-garis yang disediakan, secara automatik mereka juga dapat mengenal huruf, nombor atau bentuk serta bunyi sekali gus melatih mereka untuk meningkatkan kemahiran bahasa.
Banyakkan aktiviti bagi melatih dan galakkan anak memegang pensel. Ini akan membuat mereka rasa seronok menulis walaupun hanya satu atau dua abjad sahaja. Selain itu, ibu bapa dapat memberitahu anak-anak bahawa belajar menulis tidak susah.











