Pereka lensa muslimah pertama di Snapchat beri sentuhan unik - Utusan Malaysia

Pereka lensa muslimah pertama di Snapchat beri sentuhan unik

Yong Nurain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Buat pertama kalinya, Snapchat memperkenalkan pereka lensa muslimah yang memberikan sentuhan kelainan kepada aplikasi berkenaan.

Pereka itu, Yong Nurain atau lebih mesra disapa sebagai Ain menonjolkan keunikan sambutan kebudayaan seperti Ramadan dan Aidilfitri ke pentas antarabangsa dan pengguna Snapchat yang lain melalui Realiti Berperantara (AR).

Gadis berlatarbelakangkan Ijazah Sarjana Sains Komputer itu pada awalnya hanya berjinak-jinak dengan Lens Studio yang merupakan aplikasi papan pemuka percuma dalam aplikasi berkenaan.

Setelah itu, berbekalkan ilmu yang ada dia terdetik untuk menggabungkan minat dalam multimedia dengan rekaan melalui latihan amali bersama sebuah agensi AR tempatan.

Lama-kelamaan setelah cuba menghasilkan lensa sendiri dan mendalami dunia AR, dia dijemput untuk menyertai Snap Lens Network sebagai pereka lensa dan sehingga kini telah berkongsi lensa ciptaanya yang pelbagai dalam menyerlahkan keunikan budaya malaysia dan anime.

Memandangkan AR semakin popular di negara ini, Ain optimis ia dapat digunakan oleh golongan muda untuk berkomunikasi, menikmati permainan video serta menjadi inspirasi dalam bidang kreatif.

“Sejujurnya, perkara terbaik sebagai ‘Lens Creator’ dan menceburi bidang AR adalah ia dapat menghilangkan batasan fizikal di sekeliling anda dan membebaskan potensi sebenar ruang di sekitar kita.

Meskipun AR sering dianggap sebagai satu mainan yang boleh dikongsi dan dinikmati bersama rakan-rakan, saya dapat lihat potensi besar serta keunikan aplikasinya dan saya teruja dapat mengubah idea saya dari sekeping kertas dan menghidupkannya di ruang kamera menerusi ‘Lens Studio’,” katanya.

Lebih mengagumkan, gadis ini juga berjaya menangkis stereotaip bahawa teknologi hanya didominasi oleh kaum lelaki.

Dia mampu mengimbangi tuntutan kerja hakiki bekerja di sebuah klinik pada waktu siang dan menggunakan kreativitinya pada waktu lapang sebagai pereka lensa.

Menerusi kerjasama dengan pasukan Lens Studio dan komuniti Lens Creator Studio, Ain telah melancarkan beberapa Lens yang popular iaitu About Ramadan, Aidilfitri Dance dan Night Screamers.

Ini sekaligus telah memberi pendedahan mengenai agama dan kebudayaan Islam secara lebih meluas kepada komuniti Snapchat dalam bentuk hiburan yang menarik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×