Model ternakan kerang pertama dunia hasil benih sepanjang tahun - Utusan Malaysia

Model ternakan kerang pertama dunia hasil benih sepanjang tahun

Kakitangan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) perlu menjalankan pemeriksaan untuk menentukan bilangan induk jantan dan induk betina serta tahap kematangan induk kerang yang ditabur di Teluk Lekir, Perak. – UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerang adalah salah satu makanan laut bercengkerang yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Ia juga boleh digunakan dalam pelbagai jenis masakan serta mempunyai penggemarnya yang tersendiri.

Bagaimanapun, kini makanan laut itu seolah-olah menjadi makanan buat golongan ‘bangsawan’ ekoran harga yang melambung tinggi. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, harga kerang sudah melambung sehingga RM20 sekilogram berbanding harga pada lebih 10 tahun lalu yang hanya dijual sekitar RM6 sekilogram sahaja.

Kerang di negara ini juga hanya boleh didapati lokasi tertentu iaitu di sekitar kawasan pantai berlumpur di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Spesies kerang juga akan membiak pada musim-musim tertentu sahaja mengakibatkan harga kerang melambung jika permintaan kerang berada di luar musim membiak.

Malah, sejak tahun 2010, sumber benih kerang semulajadi di perairan Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor yang merupakan pengeluar utama kerang negara juga didapati merosot.

Perkara ini menyebabkan berlaku penurunan pendaratan kerang malah di beberapa lokasi pembenihan semula jadi sedia ada turut menunjukkan trend fenomena kekurangan benih secara semula jadi.

Bagi mengelakkan benih kerang terus berkurangan di perairan negara ini, Jabatan Perikanan Malaysia menerusi Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) telah menjalankan kajian untuk meningkatkan populasi benih kerang negara.

Menurut Pengarah Kanan Penyelidikan FRI Batu Maung, Dr. Zainoddin Jamari, FRI Batu Maung berjaya menemui satu mekanisme ternakan kerang mapan dan lestari di Teluk Lekir, Perak.

“Ini kerana dapatan kajian kami mencadangkan terdapatnya lokasi pembenihan aruhan, ternakan kerang dan kehadiran benih di lokasi yang sama iaitu di Teluk Lekir.

“Malah model ini sedang dan akan dijalankan di Johor, Selangor dan Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui di FRI Batu Maung, Pulau Pinang baru-baru ini.

Dr. Zainoddin Jamari menunjukkan kerang yang dihasilkan di Teluk Lekir, Perak, hasil daripada penyelidikan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), Batu Maung, Pulau Pinang.

KAJIAN BERMULA 2010

Mengulas lanjut, beliau berkata, kajian oseanografi pantai telah dilaksanakan sejak 2007 hingga 2017 di beberapa lokasi perairan di Malaysia yang mempunyai taburan benih kerang semula jadi.

Katanya, kajian yang sama telah dijalankan pada 2010 di mana pihak FRI telah menemui faktor penggalak atau rangsangan pembenihan aruhan kerang di Teluk Lekir, Perak.

Beliau menjelaskan, faktor penggalak pembenihan aruhan kerang di Teluk Lekir membawa kepada penemuan model Cadangan Musim Pembenihan Aruhan (SISS), Cadangan Tapak Pembenihan Aruhan (SISG), dan Cadangan Tapak Kejatuhan Benih (SSFA).

“Dapatan kajian ini mendapati keadaan yang sesuai untuk ternakan kerang adalah membabitkan julat suhu air laut antara 29.5 hingga 30.5 darjah Celsius dan saliniti sekitar 27 ppt-32 ppt.

“Kajian FRI juga mendapati pendedahan kerang kepada suhu 32 darjah celcius melebihi tujuh jam akan menyebabkan kematian kerang.

“Penemuan SISS, SISG dan SSFA hasil kajian tersebut telah dikemukakan kepada Jabatan Perikanan sebagai salah satu mekanisme cadangan pengurusan kerang yang boleh dikembangkan ke perairan negeri lain untuk meningkatkan populasi kerang negara.

“Malah penemuan ini juga adalah yang pertama di dunia khusus untuk kerang,” katanya..

Zainoddin berkata, sebelum kajian itu dijalankan, fenomena kehadiran benih kerang di Pantai Teluk Lekir adalah berdasarkan kepada keadaan semula jadi sahaja.

Katanya, menerusi projek pembenihan aruhan kerang di perairan Lekir, Manjung, Perak yang dilaksanakan pada Oktober 2018 telah membuahkan hasil seperti yang dijangkakan. Malah kehadiran benih kerang juga tidak putus-putus sepanjang tahun sehingga hari ini.

Jelasnya, dengan mengambil faktor kawasan semula jadi yang tidak tercemar, suhu, pemakanan dan arus di Teluk Lekir, tempoh tumbesaran kerang mengambil masa sehingga empat bulan sahaja bagi mencapai saiz dewasa 25 milimeter (mm) berbanding enam sehingga lapan bulan seperti kebiasaannya

“Sebanyak 23.89 metrik tan benih kerang telah didaratkan pada 2019 dengan anggaran nilai sebanyak RM3.2 juta, manakala bagi tahun 2020 pula 1,200 metrik tan kerang didaratkan dengan nilai RM10.69 juta.

“Pada Januari hingga Mac tahun ini pula sebanyak 335.6 metrik tan kerang dengan anggaran nilai kerang sekitar RM8.4 juta,” katanya.

Induk kerang yang siap sedia untuk ditabur di kawasan Cadangan Tapak Pembenihan Aruhan (SISG) di kawasan perairan Teluk Lekir, Perak

Zainoddin berkata, jika model yang sama dilaksanakan negeri- negeri lain seperti Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan sasaran penghasilan benih sehingga 150,000 metrik tan bernilai RM1.8 bilion dapat dicapai menjelang 2025.

Menurutnya, model ternakan kerang di perairan Lekir itu juga membantu menambah pendapatan nelayan di mana seramai 160 peserta terlibat dengan cadangan 20 lot ternakan di kawasan sekitar 420 hektar di perairan Sungai Limau di Utara sehingga Kayan di Selatan Perak.

“Peserta Projek Kebun Kerang Lekir ini hanya perlu mengutip benih kerang dari pantai Teluk Lekir dan mereka boleh memperoleh lesen daripada Pejabat Perikanan Manjung dengan kadar RM50.

“Sebahagian hasil kutipan kerang ini mereka akan jual bagi menampung sara hidup dan sebahagiannya pula ditaburkan ke dalam lot-lot kebun kerang mereka bagi tujuan ternakan,” katanya.

Ujarnya, kajian biomas mencadangkan anggaran pendaratan kerang dewasa dari projek Kebun Kerang Lekir ini sekitar 1,000 metrik tan dengan anggaran nilai komoditi sekitar RM8 juta.

“Selain itu, anggaran nilai dan pendaratan benih dari lokasi yang sama pada tahun ini dijangka sekitar RM15 juta hingga RM18 juta,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini