PUTRAJAYA: Umat Islam yang menyambut Hari Raya Aidiladha hari ini perlu menghayati konsep pengorbanan dalam perspektif yang lebih besar tatkala negara sedang bergelut memerangi pandemik Covid-19.
Ia tidak terikat penyembelihan korban semata-mata, tetapi kepatuhan terhadap undang-undang yang dikuatkuasakan seperti larangan rentas negeri, duduk di rumah, pengambilan vaksin, tiada ziarah-menziarahi dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) sangat dituntut ketika ini.
Sambutan Aidiladha di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun ini adalah kali kedua sejak dikuatkuasakan tahun lalu berikutan peningkatan kes Covid-19 yang membimbangkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, umat Islam perlu menghayati falsafah korban itu sendiri iaitu pengorbanan kepada sebarang kepentingan diri untuk memastikan pengurusan krisis pandemik berjalan lancar.
Beliau berkata, pengorbanan yang bertepatan dengan situasi ketika ini ialah berkorban tidak merentas negeri untuk balik kampung, tidak berkunjung ke rumah orang lain dan berkorban tidak dapat melaksanakan perkara kebiasaan dalam hari raya kerana ada halangan tertentu.
“Sebab suasana sekarang ini kes Covid-19 naik, kita sedang berkejar masa untuk memastikan proses melandaikan wabak tidak terganggu dengan pergerakan yang tidak perlu dilaksanakan, ini satu pengorbanan.
“Sudah berapa kali timbul kluster ekoran pergerakan rentas negeri kerana berlaku pelanggaran berkenaan akibat sikap tidak sabar kita ternyata ada risikonya terpaksa kita tanggung. Kalau semua boleh ikut SOP, insya-Allah boleh meminimumkan risiko. Ini pengorbanan terbesar rakyat,” katanya.
Nada sama diluahkan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman yang menjelaskan, larangan merentas dari satu kawasan ke kawasan yang ada wabak penyakit adalah bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW bagi mengelak kemudaratan kepada orang lain.
Katanya, dalam konteks itu, mana-mana individu yang bertindak melanggar perintah larangan merentas negeri ketika ini dalam usaha mencegah penularan jangkitan wabak penyakit Covid-19 adalah bercanggah dengan hadis Nabi SAW dan hukumnya haram.
Beliau menjelaskan, sekiranya umat Islam patuh kepada perintah itu dan tidak pergi atau keluar dari kawasan wabak bermakna ia satu pengorbanan besar umat Islam dan diberikan ganjaran pahala bertepatan dengan konsep pengorbanan Hari Raya Aidiladha.
“Kita sekarang berdepan dengan wabak ini. Rasulullah menyebut kita tidak boleh pergi ke tempat ada wabak, atau orang yang berada di satu tempat itu yang ada wabak tidak boleh keluar.
“Kalau kita berada di Kuala Lumpur atau Lembah Klang yang dikatakan ‘sarang’ besar kes Covid-19 dan kemudiannya kita membawa ke tempat lain, itu adalah bercanggah atau menyalahi hadis.
“Kalau kita tahu boleh membahayakan orang (dengan perbuatan merentas negeri dari kawasan wabak), jadi hukumnya haram bersandarkan kepada illah kerana kita mungkin tidak tahu kita ada jangkitan dan membawa kepada orang lain menyebabkan bahaya kepada orang lain sehingga mengakibatkan kematian,” katanya semalam.
Abdul Rahman berkata, umat Islam disarankan mengambil iktibar pengorbanan Nabi Ibrahim yang sanggup meninggalkan isteri dan anaknya di satu tempat gersang semata-mata mematuhi perintah Allah.
Justeru, katanya, jika dibandingkan dengan keadaan masyarakat ketika ini yang perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) di samping mengelak bertemu keluarga ketika Hari Raya Aidiladha, ia boleh dianggap ringan kerana masing-masing tetap menyambut perayaan walaupun tidak sebebas dahulu.
Ini bermakna, katanya, ia satu pengorbanan, kejayaan dan ibadah serta tidak patut berasa kecewa kerana merayakan Aidiladha yang sebenar ialah memperbanyakkan takbir di mana sahaja kita berada sepanjang hari bermula malam raya sehingga hari ke-13 Zulhijjah.
“Apa yang kita nak ialah beribadah kepada Allah, itu yang pentingnya,” katanya. – UTUSAN










