Tisha's Low Carb tawar peluang niaga serendah RM50 - Utusan Malaysia

Tisha’s Low Carb tawar peluang niaga serendah RM50

SHAMSUL SHAH mahu membuka peluang kepada mereka yang terkesan akibat pandemik untuk menceburi bidang perniagaan dengan menjadi ejen atau stokis Tisha's.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANPA pengalaman berniaga, bekas jurutera, Shamsul Shah Sulaiman memilih menceburi dunia keusahawanan apabila kilang tempatnya mencari rezeki ditutup kira-kira 10 tahun lalu.

Walaupun bermula secara kecil-kecilan dengan hanya gerai martabak di tepi jalan di Wangsa Melawati pada tahun 2012, beliau sentiasa memasang impian untuk mengembangkan perniagaan martabak warisan keluarganya di utara tanah air itu suatu hari nanti.

Dengan semangat yang tinggi dan berbekalkan modal sebanyak RM90,000 yang berjaya dikumpul sedikit demi sedikit, anak jati Pulau Pinang yang kini berusia 49 tahun itu akhirnya berjaya membuka syarikat sendiri, Tisha’s Food Manufacturing Sdn. Bhd.

Beliau amat bertuah kerana dibantu isteri, Atika Ramli, 46, yang sentiasa bersamanya dalam usaha membangunkan perniagaan itu sejak sembilan tahun lalu.

Lebih membanggakan, setakat ini, Tishas Food Manufacturing telah mengeluarkan lebih 40 produk makanan sejuk beku di bawah jenama Tisha’s antaranya roti paratha, roti puri, martabak, karipap, donut, popia, pisang goreng dan samosa.

Menurut Shamsul yang merupakan Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Tisha’s Food, idea mengembangkan perniagaan sejuk beku itu tercetus setelah melihat trend pelanggan yang gemar mendapatkan makanan yang masih panas kerana rasanya lebih enak.

“Ketika saya berniaga martabak di tepi jalan, kita dapat lihat pelbagai ragam pelanggan dan saya dan pekerja hanya mula memanaskan martabak apabila ada pelanggan.

“Dari situ saya fikir, perlu buat sesuatu supaya masa yang ada dimanfaatkan sepenuhnya. Jadi, ketika tiada pelanggan saya dan pekerja akan membuat martabak sejuk beku yang tahan lebih lama.

“Jadi, saya mula menjual martabak sejuk beku di gerai dan kemudian tercetus idea untuk menghasilkan lebih banyak produk sejuk beku supaya orang ramai dapat menikmati makanan yang enak di rumah,” katanya.

Kini, syarikat bumiputera itu melangkah ke satu tahap yang lebih tinggi menerusi produk terbaharu yang rendah karbohidrat iaitu Tisha’s Low Carb.

Keluaran terbaharu itu dihasilkan menerusi kerjasama  dengan dua jenama terkenal iaitu Dapur Kak Kek oleh pelakon, Catriona Ross serta Asianketo yang diterajui oleh Roslina Manaf yang merupakan bekas pesakit kanser.

Keunikan rasa lauk-pauk menggunakan rempah dan resipi asli cita rasa Asia dari Dapur Kak Kek dan keprihatinan Asianketo dalam penyediaan makanan yang sihat, tanpa gula dan menggunakan bahan asli menjadikan pek Tisha’s Low Carb berkualiti tinggi, sedap dan disukai ramai.

Produk makanan tersebut amat sesuai untuk pesakit diabetes, kencing manis, kanser, obesiti serta pengamal diet sihat.

Shamsul berkata, penghasilan produk rendah karbohidrat tersebut diinspirasikan daripada trend amalan gaya hidup sihat yang menjadi ikutan ramai pada hari ini.

Beliau juga mahu mengubah persepsi yang makanan sihat kebiasaannya kurang rasa kerana dengan produk terbaharu Tisha’s Low Carb, orang ramai masih boleh menikmati makanan yang sedap di samping menjaga pengambilan karbohidrat untuk sentiasa sihat.

“Kami menaruh harapan tinggi agar produk yang baru dilancarkan ini juga dapat membuka peluang perniagaan kepada mereka yang terkesan dengan keadaan semasa akibat wabak Covid-19. 

“Oleh itu, di samping mementingkan pengambilan makanan sihat, kami juga memberi peluang kepada orang ramai khususnya suri rumah atau sesiapa yang kehilangan pekerjaan untuk menjana pendapatan dengan modal permulaan serendah RM50 sahaja,” ujarnya.

Shamsul berkata, produk itu mampu memberi margin keuntungan antara 16 hingga 25 peratus kepada mereka yang menjadi ejen dan juga stokis.

Bagi memudahkan ejen dan juga pelanggan, beliau memaklumkan, laman web Tishas menyediakan kemudahan e-dagang untuk mereka membuat pembelian terus daripada sistem yang disediakan.

“Setelah pelanggan selesai membuat urusan pembelian, pekerja Tisha’s akan menghantar pesanan itu kepada stokis atau ejen mengikut lokasi pelanggan.

“Melalui Central Management System (CMS) di myshop, tishasfood.com.my pula memudahkan ejen dan stokis menguruskan perniagaan dengan lebih tersusun dan ia disediakan secara percuma.

“Sistem ini juga menyediakan kemudahan untuk membuat tempahan, menguruskan stok, invois, pembayaran, pesanan penghantaran dan point of sales (POS). Kami menyediakan semua kemudahan yang lengkap bagi mereka yang berminat memulakan perniagaan dengan Tishas,” katanya.

Setakat ini, produk jenama Tisha’s sudah memasuki pasar raya besar mahupun kecil seperti Giant, Mydin, Jusco, Lulu, Sogo, Village Grocer, B.I.G, ST Rosyam Mart, Sri Ternak, OTK, PDM dan pelbagai kedai Halal Mart seperti Azzain, Dr Zainur, Barakah, Lesong, Ramly Mart.

Pelanggan juga boleh mendapatkan produk Tisha’s secara dalam talian menerusi Shopee, Jocom, Go Shop dan Lazada. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×