Sambut Aidiladha di rumah, tindakan tegas rentas negeri, daerah - Utusan Malaysia

Sambut Aidiladha di rumah, tindakan tegas rentas negeri, daerah

ZAINAL ABIDIN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jangan berkumpul atau cuba rentas daerah dan negeri semata-mata untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.

Malah, kebenaran rentas negeri dan daerah masih tertakluk kepada dua alasan iaitu kematian dan kecemasan termasuk atas tujuan membawa ibu bapa mendapatkan suntikan vaksin.

Itu peringatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap rakyat Malaysia susulan terdapat perantau cuba pulang ke kampung menjelang sambutan Aidil­adha pada Selasa ini.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Zainal Abidin Kassim berkata, sehingga kini tiada kelonggaran diberikan terhadap orang ramai untuk merentas daerah dan negeri selain melibatkan hal-hal kecemasan.

Katanya, kawalan dan rondaan di setiap pintu masuk negeri dan kawasan kejiranan dijalankan pasukan pematuhan bagi mengesan jika terdapat sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita minta rakyat Malaysia hanya duduk di rumah terutama untuk sam­butan Aidiladha.

“Jangan cuba berkumpul, membuat kenduri atau sebarang majlis. Tidak perlu cuba rentas negeri dan tolong patuh SOP Aidiladha. Varian baharu (Delta) sangat bahaya dan cepat merebak. Sayangi nyawa keluarga anda,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tambah Zainal Abidin, pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar SOP.

“Jika kita kesan ada banyak kereta di kawasan-kawasan kejiranan atau kediaman, seakan-akan berkumpul, kita akan kompaun,” tegasnya.

Mengikut rekod, bermula 13 Mei sehingga 10 Jun lalu, terdapat sebanyak 60 kluster perayaan yang berpunca daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri (58 kluster) dan Hari Gawai (dua kluster) dilaporkan.

Sebanyak 13,023 individu disaring yang mana terdapat 3,511 kes Covid-19 dikenal pasti seterusnya menjadikan kadar positif 27.0 peratus.

Daripada 3,511 kes tersebut, 20 kematian dilaporkan.

Di Kota Bharu, Kelantan, tinjauan di beberapa sekatan jalan raya (SJR) utama mendapati pemeriksaan ketat dilakukan terhadap kenderaan yang ingin melepasi sekatan.

Aliran trafik di pintu masuk negeri ini dari selatan tanah air dan ibu negara lengang tanpa pertambahan kenderaan.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, setiap dokumen dikemukakan pemandu kenderaan diperiksa dengan teliti bagi mengelak penipuan.

“Kita sudah menutup semua lorong-lorong tikus di pintu masuk ke Kelantan bagi mengelak tidak ada individu yang mengambil kesempatan untuk cuba nasib pulang menyambut Aidiladha,’ katanya di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan sudah ada perantau mencuba nasib untuk pulang beraya di Kelantan apabila jumlah kenderaan melalui SJR di Jeli dari utara tanah air meningkat hingga lima peratus.

Di Arau, Perlis orang ramai diminta melaporkan kepada polis sekiranya terdapat kehadiran pihak luar melanggar SOP termasuk berkumpul di rumah pada Hari Raya Aidiladha.

Setiausaha Kerajaan negeri, Azman Mohd. Yusof berkata, kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), persatuan penduduk dan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) diperlukan untuk memantau kawasan kejiranan masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×