Keputusan pindah CAC Klang diketahui dua minggu lagi - Utusan Malaysia

Keputusan pindah CAC Klang diketahui dua minggu lagi

DEWAN Sukan Klang dijadikan CAC bagi menilai pesakit Covid-19 yang tinggal dalam daerah Klang tidak akan dipindahkan berikutan lokasinya berhampiran dengan HTAR dan keluasan dewan yang memadai untuk beroperasi. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Keputusan untuk memindahkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Klang di Dewan Sukan Klang dekat Taman Sri Andalas akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni yang memberitahu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang sedang mempertimbangkan beberapa perkara sebelum membuat sebarang keputusan.

“Pada mesyuarat yang diadakan oleh pihak terbabit Isnin lalu, mereka sudah mengenal pasti dua buah lokasi untuk menjadi CAC Klang yang baharu, iaitu di Pelabuhan Klang dan Bandar Botanik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun, tidak dinafikan, Dewan Taman Sri Andalas adalah yang terbaik kerana saiznya besar sekaligus dapat menampung jumlah orang awam yang ramai pada satu-satu masa,” katanya selepas menghadiri Program Sumbangan Pek Keperluan Dapur untuk warga Taman Sri Andalas di Taman Rakyat, di sini, semalam.

Isnin lalu, PKD Klang sedang mempertimbangkan permohonan penduduk Taman Sri Andalas untuk memindahkan CAC Dewan Taman Sri Andalas di sebuah lokasi baharu.

Pejabat tersebut mengakui tidak melakukan perbincangan dengan penduduk kawasan terbabit sebelum membuat keputusan membuka CAC di dewan berkenaan.

Oleh demikian, Mohd. Zawawi memohon penduduk sekitar dewan tersebut supaya bersabar sebelum keputusan muktamad berhubung perkara itu diputuskan.

Bagaimanapun, PKD Klang dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, penduduk setempat tidak perlu risau mengenai risiko jangkitan Covid-19 berikutan pesakit positif yang berkumpul di dewan itu kerana jarak antaranya dengan rumah cukup jauh.

Katanya, risiko jangkitan secara aerosol kepada penduduk Taman Sri Andalas adalah sangat rendah kerana jarak antara dewan ke rumah terdekat adalah melebihi dua meter.

Dalam pada itu, Mohd. Zawawi yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor meletakkan keyakinannya bahawa kes Covid-19 akan menurun memandangkan kerajaan negeri serta pusat sedang mempertingkatkan pemberian vaksin terhadap rakyat negeri itu.

“Kalau tak silap saya, Selangor telah meningkatkan pemberian vaksin kepada 114,416 orang setiap hari sejak beberapa hari lalu.

“Positif dengan perkara ini, saya harap jumlah pesakit Covid-19 akan semakin menurun sekaligus mengurangkan jumlah kehadiran pesakit ke CAC,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×