KUALA Sanglang adalah sebuah pekan kecil di Kangar, Perlis yang bersempadan dengan Kedah. Di sini, banyak lorong tikus yang menjadi laluan penduduk keluar masuk dari kedua negeri itu.
Malah, setiap kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kawasan itu sering menjadi tumpuan orang ramai keluar masuk bagi mengelak melalui sekatan jalan raya di kilometer 17, Simpang Empat.
Meskipun pihak polis telah mengambil langkah menutup lima lorong tikus dengan penghadang batu di sekitar kawasan sempadan Kuala Sanglang itu, namun orang ramai dilihat masih ingkar.
Situasi berkenaan turut diakui oleh Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad yang meluahkan rasa kecewanya dengan tahap kesedaran orang ramai yang masih keluar masuk di kawasan lorong-lorong tikus itu meskipun laluan tersebut sudah ditutup.
Kata Surina, tempoh PKP dengan sekatan pergerakan penuh ketika ini seolah-olah tidak diberi perhatian oleh segelintir masyarakat.
Malah ketika beliau meninjau kawasan tersebut baru-baru ini, mendapati begitu banyak motosikal keluar masuk seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Ketika saya berada di situ orang masih ramai keluar masuk, bagaimana pula waktu pihak berkuasa tidak ada, berkemungkinan lagi banyak orang keluar masuk di situ.
“Kita bagi kelonggaran buka sedikit ruang bagi membolehkan mereka yang mempunyai urusan penting bukannya sesuka hati lalu lalang di kawasan berkenaan,” luah Surina.
Selain tiga lorong tikus yang sebelum ini telah ditutup di pekan Kuala Sanglang, pihak polis juga menambah dua lagi lokasi iaitu di Kampung Tok Mengkula dan Jalan Tok Mengkubah di kawasan tersebut selepas mendapati laluan tersebut cukup aktif.
Sementara itu, pemerhatian Utusan Malaysia di kawasan lorong tikus di pekan Kuala Sanglang baru-baru ini mendapati orang ramai masih menggunakan laluan tersebut untuk berulang-alik antara sempadan Kedah dan Perlis.
Dalam masa tidak sampai lima minit sahaja, didapati lebih 10 penunggung motosikal dilihat melalui lorong kecil yang dibuka oleh polis khususnya untuk penduduk setempat bagi tujuan perkara-perkara yang penting seperti ke tempat kerja ataupun ke klinik.
Meskipun pihak berkuasa mempermudahkan urusan penduduk setempat dengan membuka laluan kecil, namun kepercayaan yang diberi itu tidak seharusnya disalahgunakan dengan sewenang-wenangnya untuk merentas sempadan.
Bagaimanapun, didapati lorong tikus yang ditutup sepenuhnya dengan penghadang jalan konkrit dan plastik tidak cuba direntasi atau dialihkan oleh orang ramai ketika tinjauan tersebut.
SJR bergerak kurangkan bolos
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew berkata, terdapat tiga pasukan iaitu pasukan snap check, pasukan Op Bentang dan pasukan pematuhan yang berperanan membuat pemantauan di kawasan tersebut bagi memastikan tiada yang lolos.
Menurutnya, ketiga-tiga pasukan terbabit yang bertugas 24 jam setiap hari itu sentiasa melakukan kawalan di sekitar lorong tikus.
Katanya, setiap pasukan terdiri daripada empat orang yang akan bertugas mengikut giliran.
“Selain membuat pemeriksaan, mereka juga mendirikan SJR bergerak pada bila-bila masa. Teknik ini dipercayai lebih berkesan berbanding SJR tetap kerana orang ramai sudah tahu di mana pihak berkuasa berada.
“Hasilnya, untuk dua hari pertama PKP sepenuhnya berkuat kuasa, seramai empat individu dari Kedah telah ditahan kerana merentasi negeri ke negeri ini.
“Mereka yang masuk dengan alasan yang tidak munasabah telah dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 setiap seorang,” ujarnya.

Jelas Wari Kiew, walaupun laluan kecil dibuka bagi penduduk tempatan, pihaknya tidak pernah leka dalam memantau pihak yang cuba mengambil kesempatan menggunakan lorong tersebut.
“Biasanya penduduk tempatan akan menggunakan laluan tersebut pada waktu pagi untuk ke tempat kerja ataupun petani ke sawah.
“Jadi, pasukan yang ada akan lebih menitikberatkan pemantauan sekitar pukul 10 pagi ke atas,” katanya.
Tambahnya, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan dan mengenakan kompaun kepada mereka yang ingkar dalam tempoh PKP yang dilakukan untuk mengekang penularan wabak ini.
“Mereka yang cuba merentas negeri ini memang tidak ada waktu spesifik yang dipilih untuk lalu lorong tikus ini. Bagi mengelak SJR kilometer 17 di Simpang Empat mereka akan melalui jalan ini.
“Sebab itu, pasukan-pasukan kami yang ada ini akan sentiasa menunggu dan memantau cubaan rentas negeri ini,” jelasnya.











