Segerakan vaksin pelajar - Utusan Malaysia

Segerakan vaksin pelajar

KAEDAH PdPR diperkenalkan bagi menggantikan sementara pembelajaran bersemuka semasa tempoh darurat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemberian vak­sin Covid-19 kepada kira-kira 400,000 pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) seperti dirancang ke­rajaan perlu disegerakan.

Ini berikutan wujud kebimbangan ibu bapa berhubung ke­adaan anak-anak mereka yang tertekan ekoran kesuntukan masa untuk membuat persiapan dan mengikuti pem­be­lajaran berkualiti secara bersemuka bagi menghadapi pe­periksaan penting berkenaan.

Sehingga sekarang, tiada per­kembangan mengenai ta­rikh janji temu bagi program vak­sinasi membabitkan pelajar.

Sebelum ini, Menteri Penye­laras Program Imunisasi Co­vid-19 Kebangsaan (PICK), Khai­ry Jamaluddin berkata, vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech yang diluluskan kerajaan untuk kanak-kanak ber­umur 12 tahun ke atas dijangka di­terima calon-calon peperiksaan berkenaan pada pertengahan bulan ini bagi dos pertama.

Bercakap kepada Utusan Malaysia Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, pemberian vaksin untuk semua pelajar yang menduduki peperiksaan perlu disegerakan tanpa mengira sama ada negeri berkenaan pada Fasa Satu atau Dua dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, dengan pemberian vaksin itu, ia dapat memastikan sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara bersemuka bagi golongan berkenaan diadakan serentak di seluruh negara tanpa mengira status negeri berkenaan.

“Apa yang penting prosedur operasi standard (SOP) ketat perlu dipatuhi. Tambahan pula ia hanya melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan sahaja.

“Justeru, beri suntikan untuk pelajar yang mengambil peperiksaan terlebih dahulu. Kita tidak mahu mereka ketinggalan dalam pelajaran. Walaupun ada sesi Pengajaran dan Pembe­lajaran di Rumah (PdPR), sesi secara bersemuka lebih mudah difahami dan kurang kekangan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam pada itu, Presiden Ke­satuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Ami­nuddin Awang berkata, pem­berian vaksin kepada ca­lon-calon peperiksaan SPM dan STPM mampu memberi per­lindungan bukan sahaja da­lam kalangan pelajar tetapi kepada guru yang akan terlibat nanti.

Menurutnya, pemberian vak­sin itu juga disifatkan sebagai jalan keluar bagi mempercepatkan proses PdP secara bersemuka bukan sahaja kepada pelajar yang mengambil pe­periksaan tetapi membabitkan pelajar lain.

“Jika proses imunisasi menjadi semakin lambat, ia sebenarnya merencatkan impak positif kepada sistem pendidikan. Jadi, sekiranya semua divaksinkan mereka boleh mulakan sesi persekolahan secara berperingkat,” jelasnya.

Peperiksaan SPM 2021 bagi ujian lisan dan amali Sains akan dilaksanakan pada Februari 2022 manakala bagi ujian bertulis pula pa­da Mac 2022.

Bagi peperiksaan STPM 2021, peperiksaan bertulis dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 24 Mac 2022.

Sementara itu, sesi PdPR bermula pada hujung tahun lalu di seluruh negara bagi memastikan murid mengikuti pembelajaran secara optimum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×