Ibarat belum sempat bertunas sudah direnggut kambing, begitulah nasib tanah air. Belum pun reda wabak Covid-19, heboh sana-sini orang bercakap soal percaturan politik yang tak sudah-sudah. Hal ini pastinya mengganggu semua pihak yang kini sedang berhempas-pulas mendepani pandemik.
Ramai sudah mendengar penjelasan dari pihak UMNO, Bersatu, PKR mahupun DAP. Tindakan UMNO memberikan kata dua kepada kerajaan, akhirnya berjaya mendesak Parlimen bersidang hujung bulan ini. Maka bersoraklah pembangkang, ibarat menunggu masa mahu menerkam.
Namun, apa pula cerita Pas? Sebagai anggota Perikatan Nasional (PN), sejauh mana Pas menghadapi penolakan rakyat terhadap kerajaan, yang sedikit sebanyak berkisar kepada isu-isu membabitkan ahlinya? Dari sudut politik pula, di manakah tertegaknya pendirian parti? Terus bersama PN, atau dengan UMNO sahaja, atau macam mana?
Memikul persoalan ini di minda, Mingguan Malaysia menemu bual Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad secara atas talian, pada Selasa lalu. Ia disertai wartawan ROSHIHAN ANNUAR YUB, FAHMI FAIZ dan jurukamera SHAHRIL AZMAN ZAIN.
MINGGUAN MALAYSIA: Sejauh mana tindakan UMNO cuba tarik diri dari Perikatan Nasional (PN) menjejaskan solidariti blok itu?
Idris Ahmad: Berkenaan tindakan yang dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menarik diri daripada kerajaan PN, pertama ia bertentangan dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu, iaitu hendak pastikan bersama dengan kerajaan ini sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Kedua, kalau mereka tarik diri daripada PN, mereka hendak dengan siapa pula? Itulah yang menjadi tanda soalnya sekarang.
Siapa yang Pas lihat akan bersama UMNO kalau mereka keluar PN?
Ada dua sahaja, tidak ada tiga. Sama ada bersama-sama dengan DAP, PKR dan Pakatan Harapan (PH) atau bersama-sama dengan PN. Sedangkan semangat kita dulu, apabila 22 bulan kita duduk bawah Pakatan Harapan (PH) dulu sepatutnya sudah pun memberikan satu iktibar dan pengajaran bermakna.
MN ATAU PN?
Blok mana lebih utama, Muafakat Nasional (MN) atau PN?
Pada kita dua-dua ini kena diutamakan. Memanglah UMNO ini mereka minta supaya kita tidak bersama Bersatu. Pada masa sama, Bersatu juga minta agar tidak bersama dengan UMNO. Tetapi Pas hendak dua-dua. Pada kita, walaupun orang kata tidak ramai mana, Bersatu pun tidak ramai mana (kerusi Parlimen), tetapi itu adalah undi.
Kita tengok dalam suasana setiap Parlimen yang kita letakkan di tier (kategori) satu, katakanlah 80 peratus ke atas, kerusi itu tidak banyak sebenarnya. Kalau bertembung tiga penjuru pun tiada masalah. Tapi kalau kita tengok Parlimen lain di tier dua yang bawah 80 peratus, sudah tidak survive untuk parti-parti politik seperti UMNO, Pas atau Bersatu. Maka sebab itu kita perlu membentuk penyatuan.
Jika sebahagian UMNO tarik diri dari PN, tapi sebahagian lain kekal, bagaimana ini akan memecahkan UMNO dan apa kesan terhadap MN dan Pas?
Sebab itu, kita dalam MN, kita ini tak berkawan dengan individu, tapi kita berkawan dengan parti. Parti buat keputusan, itulah keputusan yang akan diikuti dan disepakati. Individu mungkin akan bawa objektif sendiri, tetapi kita berpegang kepada soal parti itu sendiri.
MINTA SISIK SI IKAN KELI
Ada desas-desus, DAP sekarang ada usaha menyokong PN. Bersediakah Pas dan DAP dalam blok sama?
Setakat hari ini, saya tidak pernah dengar. Sebab itu macam disebut tadi, kita sepatutnya walau apapun keputusan, ia haruslah daripada parti bukannya individu. Macam dulu, dalam Pas sendiri pun yang agak cenderung menyokong DAP, mereka ialah individu yang akhirnya keluar.
Maksudnya Pas sudah serik bekerjasama dengan DAP?
Setakat pengalaman kita, itulah tanda aras kita. Dengan DAP ini kita sudah ada pengalaman, bukan kita tak tahu. Tapi saya hormat sebab prinsip mereka. Prinsip ini yang mereka tidak pernah gadaikan. Misalnya Deklarasi Setapak 1967, mereka tidak pernah buang.
Macam mana dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula?
PKR ini tidak boleh diterima juga, sebab mereka tidak boleh berpisah dengan DAP. Sama macam Parti Amanah Negara (Amanah) mereka tidak boleh pisah dengan DAP. Kalau kita hendak minta PKR berpisah dengan DAP itu, ia seolah-olah kita minta sisik daripada ikan keli, maksudnya mustahil.
TIGA PENJURU
Sejauh mana kemungkinan Pas akan bertembung kembali dengan UMNO pada pilihan raya akan datang?
Kita harap agar perkara itu tidak berlaku. Kalau berlaku juga, memang kita tahu keputusannya.
Apa keputusannya?
PH akan berkuasa kembali. Itu sahaja keputusannya.
Adakah bermaksud war room Pas sudah buat analisis, kalau tiga penjuru PH akan berkuasa kembali?
Ya, mereka akan berkuasa. Sebab itu kita minta supaya kita ini duduk sekali. Bersatu, Pas kemudian UMNO agar semua duduk sekali. Bertembung saja kita, kena ingat tentang DAP. Mereka ini kerusinya yang sedia ada, memang tidak pernah lari. Malah makin naik lagi, dengan isu seperti di Raub sekarang (isu pencerobohan tanah haram), lagi meningkat populariti mereka. Mereka tahu, kalau hal Melayu ini mereka harapkan agar PKR cari (jalan menguruskan persepsi orang Melayu), biar Amanah cari, itu harapan mereka (DAP).

DITOLAK RAKYAT
Dalam keadaan sentimen rakyat yang dilihat kurang memihak kepada PN, mampukah kerajaan bertahan?
Cuba kita perhatikan trend, terutama trend dalam Twitter. Di sini (Twitter) ini, akaun tidak begitu genuine, kita pun tahu kadang-kadang ia gunakan sistem robotik dan automasi. Itu sistem-sistem yang mereka buat, jadi tiada masalah sangat. Tapi pada kita, ada juga kajian yang kita lihat, terutama dari sudut Facebook, dan kita lihat trend (menolak kerajaan) tidaklah seteruk seperti dalam Twitter. Maka sebab itu, merujuk kepada konteks soalan ini, saya masih ada keyakinan bahawa rakyat masih bersama PN.
Ertinya kerajaan sudah buat yang terbaik untuk rakyat?
Saya rasa banyak sudah disalurkan (oleh kerajaan), maknanya kita wajar menghargainya. Hampir RM400 bilion, dengan insentif-insentif yang diberi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0. Bayangkan vaksinasi kita, kita boleh bandingkan dengan negara-negara lain, rakyat mereka terpaksa beratur dalam keadaan yang tak teratur.
Tapi kita alhamdulillah, hari ini sudah meningkat hampir 300,000 lebih dos vaksin yang sudah disuntik, maknanya program vaksinasi kita untuk capai imuniti kelompok 80 peratus itu akan dicapai. Kalau yang memerintah ini PH, belum tentu rakyat akan dapat macam sekarang, dan ini saya boleh jamin.
BENDERA PUTIH SENJATA PROPAGANDA?
Gerakan mengangkat bendera putih disifatkan sebagai tanda rakyat benar-benar tengah susah. YB setuju?
Ini mungkin satu gimik. Kalau betul berlaku macam itu, tiada masalah, tetapi setakat rekod yang saya dapat, kebetulan saya Naib Presiden Pas, maka saya minta negeri-negeri membuat laporan untuk melihat status semua kawasan yang dikatakan ada bendera putih.
Macam mana status laporan itu?
Di Kedah misalnya, di sana kawasan Kulim hanya sebuah rumah (pasang bendera putih), rumah individu berbangsa Cina, kerja bawa van sekolah, anak tuan rumah itu minta pasang. Di Kubang Pasu sebuah rumah (pasang bendera putih), Padang Serai satu buah rumah, Sungai Petani, lokasi di kampung Sungai Mas, Kota Kuala Muda jumlahnya tiga bendera dipasang.
Kemudian lokasi di Kampung Tengah, Kampung Kilang Makau, Pinang Tunggal, jumlah satu bendera. Di Kampung Pokok Asam, Tikam Batu, satu bendera. Di Bukit Gantang tempat saya sendiri pun, setakat ini yang ada dalam kawasan Parlimen ini, satu saja.
Pas lihat gerakan bendera putih ini strategi subversif pihak tertentu untuk eksploitasi situasi semasa?
Sebab itu kita tengok, bermulanya trend ini daripada Twitter, dua orang individu. Saya hendak kata subversif, tidaklah macam itu. Tapi hendak sebutnya, kempen bendera putih ini macam satu platform yang akhirnya backfire kepada mereka.
Backfire macam mana?
Backfire pasal satunya ialah, saya tengok ada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor, pun sudah bangkit. Dia sendiri pun pertikaikan kenapa ada macam ini, menyusahkan dan sebagainya.
Jadi ini telah backfire kepada mereka, pada kita tiada masalah pasal kita ini, memang bab kebajikan rutin kita sentiasa berjalan. Bagi Pas, kita tiada masalah, memang rutin kerja kita buat kebajikan. Kita pergi kepada masyarakat bukan ikut parti, tetapi kita pergi sebagai seorang Islam yang ada tanggungjawab kepada masyarakat.
Tapi ramai berpandangan, konsep bendera putih ini sebab kerajaan sudah tidak mampu menjaga rakyat, jadi kali ini rakyat membantu rakyat?
Itu bagus, memang sepatutnya kalau ditakdirkan orang yang angkat bendera putih itu jiran saya, ia sebenarnya aib pada saya. Saya aib, sepatutnya saya yang pertama harus membantu. Kalau menurut Islam, jiran ini ada tiga hak terutama jika mereka Islam, satu hak sebagai jiran, kedua sebagai Muslim dan ketiga sebagai saudara kita. Maka sebab itu jiran paling utama, malah kalau kita mahu bersedekah, haruslah diutamakan orang yang paling dekat dengan kita (iaitu jiran tetangga).
Kita bimbang, kalau itulah yang berlaku, ia satu aib yang menggambarkan betapa konsep kejiranan kita ini sudah hancur. Sebab itu, kita kata tadi, tak banyak yang angkat (bendera putih) ini, kerana semua orang cakna benda ini berlaku. Malahan apa yang kita dapati, misalnya cerita di Selayang, dia disuruh untuk pasang bendera, itu yang kita lihat dalam media sosial. Sepatutnya memanglah jiran paling utama kepada kita, sebab itu Pas sentiasa pastikan orang di cawangan kita itu cukup makan.
TAK PERCAYA SISTEM
Rakyat seakan sudah hilang kepercayaan kepada pemimpin yang seringkali melanggar SOP. Komen YB?
Sepatutnya pemimpin ini tunjuk contoh baik, tapi kadang-kadang biasalah kita ini manusia, kita jadi fokus rakyat. Macam saya tidak kenal rapat awak berdua, tapi awak berdua kenal saya. Saya pemimpin, figura awam. Macam kita kena tahan polis pun, kita tak kenal polis, tapi polis kenal kita, jadi itu lumrah biasa. Sebab itu ada orang kata benda yang sunat itu, wajib bagi pemimpin. Makruh pada orang lain, haram pada kita. Itu pasalnya kita kena lebih daripada orang.
Lebih-lebih lagi macam saya ini ustaz, lagilah, orang Pas pula. Orang Pas ini orang anggap macam malaikat pula. Kita pun ada kesilapan dan kesalahan, kita tidak nafikan. Itu kena jagalah. Tapi macam mana kita jaga pun, kita ini manusia, adakalanya lupa. Manusia ini sebaik-baiknya, buat silap bertaubatlah kepada Allah SWT. Saya sendiri pun banyak kelemahan. Kadang-kadang kita tidak sedar benda yang berlaku itu.
PAS SEKARANG
Betulkah Pas sudah tidak seperti dulu, lantang bersuara isu agama seperti RUU 135 dan sebagainya?
Apa benda pun kalau kita hendak buat undang-undang sekalipun, setakat hari ini kita tidak pernah pun cakap mengundur diri. Isu-isu Islam lain, isu judi, tengok kenyataan pimpinan Pas. Kita ada kenyataan kita, kita tak pernah bersetuju. Saya kebetulan waktu itu ada di Dewan Negara ketika bersidang dan isu ini timbul.
Saya panggil YB Sahar ketika itu Timbalan, saya pun cakap dengan YB sebab hendak kena jelaskan. Dia pun cakap nanti dulu ustaz, sebab saya tak tahu maklumat ini. Dia kata pagi esok akan hubungi. Pagi esok dia telefon saya, dia kata betul. Kami kata kami akan lawan, kami akan tentang. Bab-bab judi ini kita tahu, puak-puak DAP ini mereka bukanlah isu hendak marah judi sangat, malah kumpulan Amanah pun bukan mereka hendak sangat. Kalimah judi yang mereka cakap itu betul, tapi maksud mereka ialah batil.
Boleh jelaskan lanjut?
Mereka mahu pastikan Pas ini tarik hand brake dan keluar dari kerajaan, dan jatuh kerajaan. Dan dia akan balik jadi kerajaan, itu tujuannya. Kalau dia serius dalam soal moral dan judi, dia kena haramkan judi pada negeri yang dia perintah, di Pulau Pinang, di Selangor, ini negeri PH memerintah.
Kenapa kamu tidak buat? Tapi kita sekurang-kurangnya had bidang kuasa yang ada pada kita di Kelantan, di Terengganu kita buat. Kerana kita tahu kalaulah ditakdirkan Pas buat (pelaksanaan Islam secara total), mereka akan tuduh kita ini Taliban, tak demokratik, ekstremis.
Pas dilanda isu membabitkan tanah Lembaga Getah (LGM), isu ‘pasang banyak kolam’, isu kenyataan yang dianggap tak sensitif berhubung gerakan bendera putih dan sebagainya. Apa reaksi Pas terhadap perkara ini?
Isu LGM rasanya sudah dibuat kenyataan rasmi oleh pihak Menteri dan LGM itu sendiri. Benda ini proses undang-undang. Kalau betul berlaku, sila ambil tindakan. Kami dalam Pas tidak akan melindungi jika orang Pas terlibat kerana kita dididik dan diasuh begitu. Kalau terlibat dengan rasuah dan duduk dalam Pas maknanya dia silap besar. Dia silap masuk parti. Dia tidak layak duduk dalam Pas.
Macam soal ‘banyak kolam’ , bukan kita mahu main banyak kolam, tapi kita hendak selamatkan Melayu-Islam. Kalau hendak kata kita tidak cakna dengan kesusahan masyarakat, boleh lihat dalam Facebook pimpinan Pas. Perbuatan kita itu lebih baik daripada kita bercakap. Kita bukan mahu suruh masyarakat sembah kita datang pejabat, kita yang turun jumpa mereka. Kita ini khadam kepada mereka dan pemudahcara kepada rakyat.










