JOHOR BAHRU: Inisiatif pasar segar terkawal (PST) di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyumbang kepada nilai jualan sebanyak RM48.67 juta yang melibatkan seramai 2,192 petani bagi memasarkan tanaman mereka di 55 PST seluruh negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, FAMA merancang untuk menambah bilangan PST dan Pasar Tani bagi memastikan kelangsungan bekalan dan kecekapan pengedaran makanan negara.
Katanya, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, majoriti sektor terpaksa ‘direhatkan’ dan implikasinya begitu besar apabila semua sektor menguncup kecuali sektor pertanian dan industri makanan yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.3 peratus pada tahun lalu.
Jelasnya, PST ini beroperasi di semua negeri termasuk negeri yang tergolongan dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) manakala Pasar Tani pula dibenarkan beroperasi di negeri yang sudah memasuki Fasa Kedua PPN sahaja seperti di Pahang, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
“Hasil tinjauan yang dibuat di PST, kita dapati rantaian pemasaran berjalan lancar bagi memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada pengguna dalam membekalkan makanan-makanan segar daripada ladang.
“Melihatkan kepada perkembangan yang positif, dijangka sebanyak 10 buah PST dan 14 buah pasar tani lagi akan memulakan operasinya dalam tempoh terdekat dan ini akan memberikan lebih kepada 2,595 petani untuk berniaga dan memasarkan hasil pertanian mereka” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke PST di Pasar Tani Kekal Datin Halimah, Larkin, di sini hari ini.
Ahmad berkata, usaha mewujudkan PST bermula sejak 1 Jun tahun lalu bagi mengimbangi penawaran dan permintaan hasil pertanian dalam negara ketika berdepan pandemik Covid-19.
Katanya, enam PST di negeri ini menyumbang sebanyak RM3 juta daripada nilai jualan keseluruhan yang dibantu oleh permintaan pasaran dari Singapura.
“Ketika ini, kita dapat lihat peningkatan hasil jualan sebanyak 1,200 hingga 1,300 tan metrik sehari berbanding sebelum ini kira-kira 900 metrik tan. Trend peningkatan ini telah kita jangka apabila membuka PST yang bukan sahaja dapat memasarkan produk pertanian namun memastikan ia terjual dalam masa ditetapkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE











