SEREMBAN: Kapasiti dan jumlah katil di hospital-hospital di negeri ini termasuk di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19 di telah mencapai tahap hampir penuh.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi Dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan menjelaskan, lima buah hospital di negeri ini yang digunakan kini beroperasi dalam kapasiti penuh.
“Lima buah hospital itu ialah Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, Hospital Jempol, Hospital Tampin, Hospital Jelebu dan yang terbaharu, Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah.
“Kita beroperasi dalam kapasiti penuh termasuk lima buah katil di ICU di Hospital Tampin, 16 buah katil ICU di HTJ. Terdapat juga semi-icu di Hospital Jempol, Jelebu dan Tampin menyediakan mesin bantuan pernafasan bagi menampung jumlah pesakit yang memerlukannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Negeri Sembilan mencatatkan tambahan sebanyak 638 kes baharu positif Covid-19 daripada keseluruhan 9,353 kes yang dilaporkan hari ini di seluruh negara.
Sementara itu, Veerapan berkata, kerajaan negeri masih lagi menilai keperluan untuk membuka sebuah Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negeri ini bagi menampung penambahan pesakit Covid-19 termasuk yang memerlukan rawatan di ICU.
“Memang mula-mula ada cadangan untuk buka Hospital Medan namun pada masa itu fasiliti kerajaan masih boleh digunakan dan kita melihat masih belum memerlukannya.
“Jika kes meningkat lagi dan ICU diperlukan, pasti kita terpaksa buka juga. Lawatan tapak iaitu di kawasan Hospital Tampin juga telah dilakukan baru-baru ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE











