LANGKAWI: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kecewa dengan keputusan kerajaan yang mengadakan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 mulai 26 Julai ini hanya bagi menerangkan kepada ahli Parlimen berkenaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurut pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad, PPN terbukti satu rancangan yang gagal sejak mula dilaksanakan dengan peningkatan kes yang serius setiap hari.
Katanya, kerajaan sepatutnya memanggil sidang khas itu bagi mendapatkan pandangan semua pihak termasuk pembangkang mengenai cara terbaik dalam mengatasi masalah besar yang berlaku ketika ini khususnya dari sudut kesihatan dan ekonomi.
“Sejak PPN diisytiharkan, jumlah pesakit baharu bertambah, kelmarin naik sampai 8,000 kes harian positif.
“Kita sebenarnya nak tahu macam mana kita boleh kurangkan kes baharu, kami dalam Pejuang ada cadangan tetapi (mereka) tidak bagi peluang kita kemukakan cadangan pun, tidak masuk di dalam agenda Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan Dapur Rakyat dan sumbangan bungkusan makanan di Kuah di sini semalam.
Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, beliau juga menganggap persiapan untuk melaksanakan sidang khas itu juga lambat memandangkan ia mengambil masa lebih dari 20 hari untuk dilaksanakan.
Minggu lalu kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos ini.
Katanya, persidangan itu bertujuan memberi penerangan kepada semua ahli Parlimen berkenaan PPN dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid. – UTUSAN ONLINE










