6,809 jawatan polis perlu diisi - Utusan Malaysia

6,809 jawatan polis perlu diisi

WALAUPUN ribuan jawatan belum diisi, anggota polis tetap memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat terutama di ketika pandemik Covid-19 sekarang ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekosongan 6,809 perjawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) disifatkan sebagai kritikal dan perlu diisi segera ter­uta­ma membabitkan pegawai ka­nan dan pegawai rendah di jabatan-jabatan tertentu.

Kekosongan itu disebabkan beberapa faktor antara­nya bersara wajib dan bersara atas pilihan sendiri.

Mengakui keadaan itu, Pe­ngarah Jabatan Penguru­san Bukit Aman, Datuk Zaini Jass mendedahkan kepada Utusan Malaysia, berdasarkan realiti penugasan semasa dan akan datang, pengisian kekosongan perjawatan perlu dilakukan bagi memperkukuhkan penyam­paian perkhidmatan kepada masyarakat termasuk memastikan kualiti siasatan ti­dak terjejas.

“Jumlah keseluruhan ke­kuatan keanggotaan PDRM ketika ini adalah 130,815 orang terdiri daripada 14,624 pegawai kanan diikuti pegawai rendah (103,989) dan pegawai awam (12,202),” katanya di sini semalam.

Bagi mengisi kekosongan tersebut, kata Zaini, mengikut perancangan asal, seramai 7,200 orang pelatih akan diambil untuk mengikuti Prog­ram Latihan Asas Kepo­lisan (PLAK) pada tahun ini.

Namun katanya, daripada jumlah itu, hanya 808 pelatih sedang menjalani latihan PLAK di tiga buah Pusat Latihan Polis (Pulapol) sejak Mac lalu.

“Ekoran pandemik Covid-19, kemasukan pelatih di beberapa Pulapol ditangguhkan kerana tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Kelangsungan PLAK penting kerana keperluan pegawai dan anggota amat kritikal selain memastikan penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksa­nakan dengan efisien,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, penyusunan semula jadual PLAK di semua pusat latihan telah dibuat dan jumlah pelatih baharu yang masih boleh dilantik untuk mengikuti PLAK bagi baki tahun 2021 sekiranya dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan selaras dengan pendekatan fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah seramai 5,904 orang pelatih.

Katanya, pelatih itu dijangka tamat latihan asas pada 2022 mengikut tempoh masa kursus ditetapkan.

“Walaupun tidak dapat membuat pengisian perjawatan penuh tahun ini, pengambilan akan dibuat tahun depan,” katanya.

Pada 23 Jun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu Menteri Kanan (Keselamatan) memaklumkan, pusat latihan polis atau kem tentera di seluruh negara tidak dibenarkan membuat sebarang aktiviti dalam tempoh sekatan pergerakan.

Namun pengecualian diberikan kepada mereka yang sedang menjalani latihan sebelum tempoh sekatan pergerakan penuh.

Utusan Malaysia pernah mendedahkan kekurangan perjawatan PDRM yang disifatkan sebagai ‘kritikal’ jika diukur dari sudut nisbah polis dengan penduduk di negara ini.

Ini berlaku terutamanya di bandar besar seperti di pentadbiran Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang hanya mempunyai 1,648 perjawatan polis namun jumlah penduduk hampir mencecah dua juta orang iaitu nisbah polis dengan penduduk 1:1,213. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×