PENGGUNAAN sistem dinding fleksibel bagi membolehkan penghuni mengubah suai susun atur ruang kediaman mengikut keperluan menjadi antara ciri yang diterapkan dalam pembangunan Gen Starz Residences di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
Projek pangsapuri perkhidmatan pegangan bebas bernilai RM269 juta itu merangkumi 360 unit kediaman dengan tiga pilihan keluasan antara 650 hingga 874 kaki persegi dan telah mencatatkan jualan penuh dan telah mencapai peringkat penyiapan struktur bangunan
Dibangunkan oleh Majestic Gen, setiap unit menawarkan konfigurasi berbeza, iaitu dua bilik tidur dan satu bilik mandi bagi unit berkeluasan 650 kaki persegi, manakala unit 756 kaki persegi mempunyai dua bilik tidur dan dua bilik mandi.
Pilihan terbesar berkeluasan 874 kaki persegi pula menyediakan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi.
Ketua Pegawai Eksekutif Majestic Gen, Wong Yik Fong berkata, pencapaian jualan penuh 100 peratus menunjukkan penerimaan pembeli terhadap pembangunan itu, khususnya dari segi lokasi, susun atur kediaman dan kemudahan yang disediakan.
“Pencapaian jualan penuh 100 peratus merupakan petunjuk positif terhadap penerimaan Gen Starz Residences serta nilai yang ingin kami tawarkan melalui pembangunan ini.
“Daripada lokasi strategik dan ruang kediaman yang fleksibel hinggalah kemudahan yang dirancang dengan teliti, setiap aspek pembangunan ini diberi perhatian bagi memenuhi keperluan pemilik kediaman bandar yang semakin berkembang,” katanya.
Dari aspek kemudahan, pembangunan itu menyediakan pelbagai fasiliti rekreasi dan sosial di tiga aras, termasuk kolam renang infiniti, jakuzi, gimnasium luar Panorama 360 darjah, ruang membaca dan bekerja, dewan serbaguna serta kawasan barbeku.
Kemudahan lain termasuk ruang santai di aras langit, Chillax Corner, ruang berjemur, kawasan lapang berumput dan Little Forest yang menyediakan ruang tambahan untuk penghuni beriadah serta meluangkan masa bersama keluarga.
Reka bentuk landskap pembangunan itu turut menggabungkan elemen kehijauan semula jadi, ciri air dan arca artistik bagi membentuk persekitaran kediaman yang lebih terbuka.
Gen Starz turut menggabungkan elemen kelestarian menerusi penerapan beberapa ciri kecekapan tenaga dan pengurusan sumber, sekali gus memperoleh pensijilan sementara GreenRE tahap Perak.
Antara inisiatif yang diterapkan ialah peruntukan 30 peratus keluasan bumbung untuk pemasangan panel solar fotovoltaik, sistem penuaian air hujan, lif cekap tenaga dan kelengkapan penjimatan air.
Penggunaan penyaman udara serta kipas cekap tenaga, bahan penebat bumbung dan sistem pengudaraan yang dipertingkatkan turut menjadi sebahagian daripada pendekatan pembangunan berkenaan.
Selain itu, pencahayaan semula jadi, landskap hijau, penggunaan bahan binaan lebih mesra alam dan pengurusan sisa secara bertanggungjawab turut diberi perhatian.
Dari segi konsep seni bina, pembangunan itu menggunakan pendekatan Chroma-Vista yang mengambil inspirasi daripada kepelbagaian warisan dan hubungan komuniti di Jalan Klang Lama.
Konsep berkenaan menggabungkan permainan warna, pemandangan terbuka serta elemen seni bina linear yang menggambarkan jaringan hubungan dan karakter kejiranan di kawasan itu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Majestic Gen, Ta Wee Dher berkata, keunikan Jalan Klang Lama terserlah menerusi gabungan komuniti, kegiatan perniagaan dan kehidupan setempat yang membentuk identiti kawasan berkenaan sejak sekian lama.
“Mengambil inspirasi daripada karakter tersebut, Gen Starz Residences dirancang untuk menyuntik nilai baharu ke dalam persekitaran sedia ada, sambil menyediakan ruang kediaman yang seiring dengan perubahan gaya hidup dan kehendak pemilik rumah masa kini.
“Bagi kami, kejayaan sesebuah pembangunan bukan hanya diukur melalui reka bentuk yang menarik atau pencapaian jualannya, tetapi juga melalui sumbangannya dalam meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan komuniti.
“Sebagai pemaju, Majestic Gen melihat tanggungjawab ini sebagai satu komitmen berterusan, bukan sahaja kepada para pembeli, tetapi juga kepada masyarakat di sekitar setiap pembangunan kami,” katanya.
Dari segi lokasi, Gen Starz terletak di kawasan kejiranan matang dengan akses kepada kemudahan perniagaan, pasar, institusi pendidikan, fasiliti kesihatan dan tarikan gaya hidup.
Pembangunan itu turut mempunyai akses kepada stesen MRT Kuchai dan KTM Pantai Dalam serta rangkaian lebuh raya utama seperti Lebuhraya East-West Link, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA).
Perancangan pembinaan MRT3 di kawasan berhampiran juga berpotensi meningkatkan kesalinghubungan kawasan itu pada masa hadapan, tertakluk kepada pelaksanaan projek berkenaan.-UTUSAN











