PASIR GUDANG: Program Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) yang berfungsi untuk merapatkan hubungan dan kerjasama antara agensi pertahanan negara dengan masyarakat setempat wajar diteruskan bagi memperkukuh inisiatif Pertahanan Menyeluruh (Hanruh).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia bukan sahaja mendekatkan rakyat pelbagai lapisan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi turut menyemai semangat patriotisme dalam diri mereka.
Katanya, masyarakat setempat turut memainkan peranan penting sekiranya berlaku sebarang bentuk ancaman keselamatan khususnya seperti serangan siber melibatkan telefon pintar atau sebagainya.
“Kita telah letakkan Hanruh sebagai elemen penting untuk memastikan ketahanan, keselamatan, kedaulatan negara. Hanruh ini melibatkan peranan yang dimainkan semua pihak di bawah konsep whole of government approach dan whole of society approach.
“Maknanya semua mesti terlibat dan atas sebab itu pendekatan CIMIC diambil. Ia bermula dengan mendekatkan ATM dengan rakyat supaya mereka ada kesedaran dan kefahaman mengenai ancaman bentuk baharu peperangan.
“Kita tidak suruh mereka angkat senjata tetapi penting untuk mereka faham peranan kita dan juga mempunyai perasaan sayangkan negara serta semangat patriotik. Kita mahukan itu agar kekuatan pertahanan negara dipertingkatkan,” katanya ketika ditemui di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Pasir Gudang di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, pertahanan negara turut memerlukan sokongan serta peranan masyarakat seiring dengan pelaksanaan diplomasi pertahanan menerusi hubungan baik dan latihan ketenteraan bersama negara luar.
“Kita juga amalkan diplomasi pertahanan. Kita berbaik dengan banyak negara, banyak negara buat latihan di negara kita. Jadi semua yang ada niat tidak baik mereka lihat siapa kawan kita. Sekiranya berlaku perang siapa yang akan bantu kita, itu diplomasi pertahanan.
“Kalau rakyat ada cekal, sayangkan negara, tak mahu mengaku kalah dengan segera, akan buat apa sahaja pertahankan, jadi itu merupakan satu bentuk pertahanan, itu satu kekuatan. Tidak boleh harap hanya kepada ATM.
“Jadi CIMIC ini bukan saja-saja mahu letupkan sana letup sini atau nak tunjuk tentera boleh guna payung terjun tetapi lebih kepada mahu mewujudkan hubungan dan bangunkan nilai-nilai yang sepatutnya ada pada rakyat,” katanya.
Program di Pasir Gudang merupakan penganjuran siri kedua bagi tahun ini selepas edisi sulung diadakan Ogos lalu dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka. – UTUSAN











