Ratusan monyet 'tawan' Taj Mahal

Ratusan monyet ‘tawan’ Taj Mahal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AGRA: Kehadiran ratusan monyet yang berkeliaran di sekitar kawasan Taj Mahal di Agra, India, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pelancong susulan beberapa kejadian pengunjung digigit haiwan itu sejak kebelakangan ini.

Rakaman video yang tular sejak Khamis menunjukkan sekumpulan besar monyet berkumpul di pintu timur, barat dan pintu diraja monumen berkenaan di negeri Uttar Pradesh, yang menjadi laluan utama keluar masuk pengunjung.

Beberapa hantaran di media sosial mendakwa ratusan monyet memenuhi kawasan berkenaan, namun pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang angka rasmi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kejadian itu turut mencetuskan perbincangan mengenai tahap keselamatan pelancong berikutan beberapa kes pengunjung digigit monyet.

Pada 2018, kira-kira 10,000 ekor monyet dianggarkan berkeliaran di Agra ketika pihak berkuasa berdepan kesukaran mengawal haiwan itu daripada mengganggu pengunjung Taj Mahal.

Sekurang-kurangnya tujuh pelancong dilaporkan digigit monyet sejak akhir Julai lalu, manakala dua mangsa termasuk seorang pelancong warga Brazil berusia 83 tahun terpaksa mendapatkan rawatan di hospital pada September.

Kes pertama melibatkan seorang pelancong wanita warga Korea Selatan yang digigit monyet pada tangan berhampiran pintu timur Taj Mahal pada 26 Julai lalu ketika menunggu di kawasan tangga.

Kajian Arkeologi India (ASI)  sebelum ini memaklumkan kebanyakan kes gigitan monyet berlaku apabila pelancong menghampiri haiwan itu untuk mengambil gambar.

Populasi primat di India turut berdepan tekanan akibat kehilangan habitat semula jadi.

Kajian semula terhadap 41 penyelidikan membabitkan 26 spesies primat di India yang diterbitkan pada 2023 mendapati sebanyak 71 peratus kajian melaporkan penurunan populasi haiwan berkenaan.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini