Jurulatih import jadi taruhan karate negara

Jurulatih import jadi taruhan karate negara

ATLET karate negara, Adeola Fay Robert meraih emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, bulan lalu. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) mempertimbangkan khidmat jurulatih import bagi memperkukuh persiapan atlet negara dalam usaha mengekalkan pencapaian pada Sukan SEA 2027 dan Sukan Asia akan datang.

Presiden MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, cadangan membawa masuk seorang atau dua jurulatih dari luar negara akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) bagi mengenal pasti keperluan barisan kejurulatihan dan pembangunan atlet negara.

“Kita ada cadangan membawa seorang atau dua jurulatih dari luar negara, tetapi belum mengadakan mesyuarat Exco untuk melihat keperluan itu. Kita sudah berjaya pada Sukan Asia baru-baru ini, tetapi saya memikirkan Sukan Asia akan datang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita sudah mendapat dua pingat emas, bagaimana kita mahu mengekalkannya? Adakah kita mahu menambah kepada tiga atau kekal dengan dua? Kita tidak boleh kurang daripada dua,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Dalam pada itu, MAKAF berhasrat mengekalkan khidmat Andris Vasilevskis yang membantu skuad negara pada Sukan Asia, namun bentuk kontrak perkhidmatannya serta kaedah pembiayaan masih perlu diperhalusi bersama MSN sebelum dibawa ke mesyuarat Exco.

Nur Azmi berkata, selepas pencapaian atlet negara pada 2026 melebihi sasaran, MSN turut bersetuju dengan perancangan MAKAF bagi 2027 yang menyaksikan penambahan atlet dalam program pembangunan serta kenaikan beberapa atlet ke Program Podium.

“Saya turut merakamkan penghargaan kepada MSN atas kenaikan gaji atlet yang meraih pingat pada Sukan Asia, selain kelulusan penyertaan dalam kejohanan antarabangsa bagi membantu atlet berada dalam kelompok 100 terbaik dunia.

“Selain itu, menjelang Sukan SEA 2027, MAKAF berhasrat menyamai pencapaian tujuh pingat emas pada edisi 2017 dengan memanfaatkan kelebihan selaku tuan rumah serta mengoptimumkan penyertaan atlet dalam 18 acara yang dipertandingkan.

“Saya suka mengekalkan pencapaian, saya tidak mahu turun. Apabila kita sudah membuat persiapan untuk sesuatu kejohanan, kita perlu menambah atau mengekalkan pencapaian. Setakat ini, mungkin tujuh emas yang mahu kita kekalkan,” katanya.

Sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2027, atlet Program Podium akan menyertai tiga kejohanan Siri A di Georgia, Sepanyol dan sebuah lagi negara Eropah pada awal tahun depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini