PETALING JAYA: Oriental Kopi Holdings Berhad (Oriental Kopi) mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 28.6 peratus tahun ke tahun kepada RM20.4 juta bagi suku keempat berakhir 30 September 2026 berbanding RM15.9 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Prestasi kewangan suku tahunan tertinggi sejak penyenaraiannya itu disokong peningkatan hasil sebanyak 28.5 peratus kepada RM171.1 juta daripada RM133.2 juta sebelum ini, dipacu pengembangan operasi rangkaian kafe serta pengedaran dan peruncitan makanan berbungkus.
Operasi rangkaian kafe kekal sebagai penyumbang utama hasil suku keempat tahun kewangan 2026 sebanyak RM154.1 juta atau 90.1 peratus, diikuti pengedaran serta peruncitan makanan berbungkus berjumlah RM15.7 juta (9.1 peratus) dan operasi lain sebanyak 0.8 peratus.
Bagi tahun kewangan penuh berakhir 30 September 2026, kumpulan merekodkan hasil dan keuntungan bersih tahunan tertinggi apabila hasil melonjak 36.2 peratus kepada RM614.2 juta berbanding RM450.9 juta pada tahun kewangan 2025.
Keuntungan kasar meningkat 25.3 peratus kepada RM142.9 juta dengan margin keuntungan kasar berada pada paras 23.3 peratus, manakala keuntungan bersih tahunan naik 14.4 peratus kepada RM69.5 juta berbanding RM60.8 juta sebelumnya, mewakili pendapatan sesaham 3.48 sen.
Pengarah Urusan Oriental Kopi, Datuk Calvin Chan Jian Chern berkata, tahun kewangan 2026 merupakan tahun pencapaian penting menerusi peluasan rangkaian kafe, pengenalan produk makanan berbungkus baharu, kerjasama jenama serta saluran jualan inovatif seperti inisiatif Kopi Malaysia, Kini Dalam Tren bersama perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
“Kami akan kekal memberi tumpuan kepada peluasan cawangan kafe di dalam negara di samping menembusi pasaran baharu di luar negara.
“Pada masa sama, kami meneroka tawaran menu inovatif, memperluas rangkaian produk makanan berbungkus serta bekerjasama dengan pengedar luar negara untuk membawa produk Oriental Kopi ke pasaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata, kumpulan sedang mempergiat pelan pengembangan serantau dengan menyasarkan pembukaan cawangan pertamanya di Indonesia menjelang penghujung 2026, selain peluasan francais ke Mauritius dan Kemboja.
“Kumpulan turut kekal optimis terhadap prospek sektor perkhidmatan F&B tempatan yang disokong penggunaan domestik serta lonjakan ketibaan pelancong menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menyasarkan 47 juta pelancong dengan jangkaan resit pelancongan berjumlah RM147.1 bilion,” tambahnya.
Sehubungan keputusan kewangan itu, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 1.05 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan 2026 berjumlah RM21.0 juta atau nisbah pembayaran kira-kira 30.2 peratus, dengan tarikh kelayakan pada 14 Disember 2026 dan pembayaran pada 8 Januari 2027. –UTUSAN








