Malaysia teruskan rundingan, pertahan tarif AS tidak lebih 19 peratus - Utusan Malaysia

Malaysia teruskan rundingan, pertahan tarif AS tidak lebih 19 peratus

JOHARI Abdul Ghani (empat dari kiri) ketika majlis permulaan operasi pemasangan tempatan (CKD) BYD di Malaysia oleh BYD dan Sime Motors di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia akan meneruskan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) sehingga suku pertama 2027 bagi memastikan kadar tarif keseluruhan ke atas negara ini tidak melebihi 19 peratus seperti dipersetujui sebelum ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata AS setakat ini memberikan indikasi kemungkinan kadar tarif antara 18 hingga 25 peratus susulan siasatan di bawah Seksyen 301 berkaitan isu lebihan kapasiti pengeluaran.

Bagaimanapun, beliau berkata, kadar berkenaan belum dimuktamadkan dan Malaysia masih mempunyai ruang untuk mengemukakan penjelasan serta justifikasi bagi mempertahankan kepentingan perdagangan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, Malaysia mahu memastikan persefahaman terdahulu yang menetapkan kadar tarif 19 peratus terus dihormati memandangkan negara ini antara yang terawal menandatangani perjanjian berkenaan.

“Saya sudah jelaskan kepada pihak AS bahawa kita adalah negara pertama yang menandatangani perjanjian itu dengan persefahaman kadar 19 peratus. Jadi, kita mesti mendapat manfaat daripada persetujuan berkenaan.

“Walaupun mereka memberikan indikasi kadar antara 18 hingga 25 peratus, kadar tarif keseluruhan negara kita tidak sepatutnya melebihi 19 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis permulaan operasi pemasangan tempatan (CKD) BYD di Malaysia, di sini semalam.

Johari berkata, kadar tarif yang dikenakan terhadap Malaysia ketika ini kekal 10 peratus sementara siasatan berkenaan belum dimuktamadkan.

Sehubungan itu, rundingan di peringkat pegawai dan menteri akan diteruskan bagi memastikan kedudukan Malaysia dalam perdagangan dengan AS tidak terjejas.

Beliau berkata, siasatan Seksyen 301 itu merangkumi empat perkara utama iaitu lebihan kapasiti pengeluaran, buruh paksa, alam sekitar dan subsidi kerajaan.

“Isu buruh paksa sudah dimuktamadkan pada kadar 10 peratus, manakala siasatan berkaitan lebihan kapasiti masih berjalan dan menjadi antara perkara utama dalam rundingan kedua-dua negara.

“Malaysia sudah beberapa kali menjelaskan bahawa kita tidak mempunyai masalah lebihan kapasiti pengeluaran, namun takrifan AS turut mengambil kira produk import dari negara ketiga yang digunakan dalam proses pengeluaran tempatan,” katanya.

Jelasnya, keadaan itu memerlukan Malaysia menjelaskan kedudukan rantaian bekalan industri domestik supaya penggunaan bahan import yang dikaitkan dengan lebihan kapasiti negara lain tidak menyebabkan Malaysia turut dikategorikan dalam isu berkenaan.

Mengulas sektor yang diberi perhatian, Johari berkata, industri besi dan keluli antara sektor yang mungkin diteliti dari sudut kapasiti pengeluaran, manakala industri semikonduktor tidak termasuk dalam skop siasatan setakat ini.

“Kerajaan akan menggunakan tempoh rundingan yang masih ada untuk meyakinkan AS bahawa Malaysia tidak mempunyai lebihan kapasiti seperti yang dibangkitkan dalam siasatan berkenaan,” ujarnya.

Katanya, keputusan akhir dijangka dibuat pada suku pertama 2027, sekali gus memberi ruang kepada Malaysia untuk mengemukakan penjelasan sebelum sebarang ketetapan baharu dibuat.

Kerajaan mahu memastikan persefahaman asal berkaitan kadar tarif 19 peratus dikekalkan supaya Malaysia terus mendapat manfaat daripada persetujuan yang dicapai sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini