Harga MSM dijangka kekal melepasi RM4,100 setan pada Disember

Harga MSM dijangka kekal melepasi RM4,100 setan pada Disember

PENGELUARAN minyak sawit Malaysia meningkat 1.7 peratus kepada paras tertinggi bulanan baharu sebanyak 2.15 juta tan pada Oktober lalu susulan output kukuh pada September.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal melepasi paras RM4,100 setan pada Disember ini apabila kebanyakan faktor penyusutan telah diambil kira dalam pasaran, manakala harga yang lebih kompetitif terus menyokong permintaan.

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat 1.7 peratus kepada paras tertinggi bulanan baharu sebanyak 2.15 juta tan pada Oktober lalu susulan output kukuh pada September, dipacu gabungan cuaca panas berkaitan El Nino serta hujan berselang-seli yang mempercepatkan pemasakan tandan buah segar (TBS).

Dari segi eksport, penghantaran melonjak 55.7 peratus kepada 1.71 juta tan pada Oktober, iaitu jumlah bulanan tertinggi dalam tempoh dua tahun, sebahagiannya didorong penghantaran tertunda dari September akibat kekangan ketersediaan kapal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“India kekal sebagai destinasi eksport minyak sawit terbesar Malaysia pada Oktober dengan penghantaran mencecah 534,000 tan, menjadikan jumlah eksport bagi tempoh 10 bulan pertama 2026 sebanyak 3.1 juta tan.

“Bagi keseluruhan tahun ini, eksport minyak sawit Malaysia ke India dijangka mencecah 3.6 juta tan, iaitu jumlah tahunan tertinggi sejak 2019,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut majlis itu, harga minyak sayuran global mencatatkan trend menurun pada November dengan MSM merekodkan penurunan paling ketara iaitu sembilan peratus berbanding dua peratus bagi minyak kacang soya Argentina dan tiga peratus untuk minyak bunga matahari, manakala minyak biji sesawi Eropah kekal tidak banyak berubah.

Kelemahan harga MSM itu membuka peluang belian bagi penghantaran hadapan khususnya untuk suku pertama 2027 (ST1 2027), memandangkan minyak sawit kini merupakan minyak sayuran paling kompetitif di pasaran utama.

Pada pertengahan November lalu, MSM diniagakan pada diskaun AS175 satu tan di bawah minyak kacang soya dan AS310 satu tan di bawah minyak bunga matahari di India, sekali gus dijangka merangsang pembelian semula selepas Diwali serta menjelang musim perkahwinan.

“Di China pula, MSM diniagakan pada diskaun AS$70 satu tan berbanding minyak kacang soya pada November 2026, menamatkan premium harga yang berlarutan sejak Julai 2024 dan dijangka meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam campuran minyak sayuran.

“Perayaan Tahun Baharu Cina pada Februari 2027 yang turut bertepatan dengan Ramadan juga berpotensi menyokong penggunaan minyak sayuran serta permintaan minyak sawit,” jelasnya.

MPOC menambah, bekalan minyak bunga matahari dari Laut Hitam yang ketat berpotensi berterusan hingga ST1 2027 susulan gangguan penghancuran dan eksport akibat konflik Rusia-Ukraine, menyebabkan sesetengah negara Timur Tengah lebih bergantung kepada import minyak sawit menjelang Ramadan.

Bekalan minyak sawit dijangka kekal selesa pada awal 2027 berikutan stok bawaan tinggi, namun stok Malaysia berpotensi menyusut pantas bermula suku kedua sekiranya eksport Indonesia berkurangan dan mengalihkan permintaan ke Malaysia dengan eksport negara berpotensi mencecah 17 juta tan pada 2027.

“Sokongan tambahan terhadap harga turut datang daripada ketidaktentuan geopolitik, kemungkinan campur tangan kerajaan Indonesia dalam eksport serta risiko pokok sawit di Malaysia memasuki fasa rehat biologi selepas dua tahun berturut-turut mencatat pengeluaran rekod pada 2025 dan 2026,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini