PETALING JAYA: Buku catatan dan pen yang sentiasa tersimpan di dalam beg sandang Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr. A. Samad Said menjadi antara kenangan yang tidak dapat dilupakan tokoh bahasa, Datuk Awang Sariyan mengenai Allahyarham.
Biarpun kelihatan sederhana, kedua-dua alat itu menjadi sebahagian daripada kehidupan Allahyarham dalam melahirkan karya agung yang mendapat sanjungan hingga ke peringkat antarabangsa.
Awang berkata, sepanjang mengenali Allahyarham sejak lebih empat dekad lalu, disiplin dalam penulisan merupakan antara pengajaran paling berharga yang diperolehnya.
Katanya, beliau mula mengenali nama Allahyarham menerusi novel-novelnya ketika di bangku sekolah menengah sebelum hubungan mereka menjadi rapat pada 1980-an melalui kegiatan bahasa dan sastera.
“Dalam beg sandangnya yang sentiasa dibawa, berisi buku catatan dan pen. Puisi, esei, cerpen dan novel yang hendak dihasilkannya dicatat dalam buku itu untuk kemudian ditaip.
“Draf asal manuskrip, seperti yang tersimpan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), penuh dengan coretan dan tanda penyuntingan beliau,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.10 petang kelmarin di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada usia 91 tahun selepas menerima rawatan akibat sakit tua selain turut menghidap diabetes.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini pada pukul 10.55 pagi semalam.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail antara yang hadir memberi penghormatan pada majlis pengebumian jenazah Sasterawan Negara itu.
Menurut Awang, disiplin itu wajar dijadikan pedoman kepada penulis baharu agar tidak sewenang-wenangnya menghasilkan karya tanpa melalui proses catatan awal, penyediaan draf dan penyuntingan rapi sebelum dihantar kepada penerbit.
Katanya, pembacaan yang luas juga merupakan antara perkara yang dititikberatkan Allahyarham untuk menjadi seorang penulis yang baik.
“Dengan disiplin yang berterusan sebagai penulis, tidak hairanlah maka karya-karya beliau bersifat malar atau bertahan lama dan mendapat sanjungan bukan sahaja di dalam negara bahkan di luar negara, khasnya apabila karyanya diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa sedunia,” katanya.
Allahyarham yang mesra disapa Pak Samad mula aktif berkarya sejak 1950-an dengan kekuatannya terserlah menerusi penulisan novel selain puisi, cerpen, drama, esei dan kritikan sastera.
Novel sulungnya, Salina yang pada asalnya berjudul Gerhana memenangi hadiah penghargaan peraduan novel DBP pada 1958 sebelum diterbitkan pada 1961 sehingga diiktiraf sebagai karya bertaraf antarabangsa.
Antara karya lain Allahyarham ialah Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Adik Datang, Langit Petang dan Cinta Fansuri.
Sumbangan Allahyarham dalam dunia kesusasteraan turut mendapat pelbagai pengiktirafan antaranya Anugerah Pejuang Sastera pada 1976, S.E.A. Write Award (1979), Anugerah Sastera Negara (1985) dan Anugerah Sasterawan Nusantara (1999).-UTUSAN











