Israel sengaja sekat kelahiran Gaza

Israel sengaja sekat kelahiran Gaza

PETUGAS perubatan memberikan susu kepada bayi pramatang di unit rawatan rapi neonatal (NICU) di Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis, selatan Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Amnesty International mendakwa sekatan Israel terhadap rawatan kesuburan dan perkhidmatan kesihatan wanita di Gaza menyebabkan wanita Palestin berdepan risiko keguguran, kelahiran mati serta komplikasi ketika hamil dan bersalin.

Badan hak asasi manusia itu turut menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyiasat kemungkinan berlakunya jenayah genosid oleh pegawai Israel sejak perang tercetus pada Oktober 2023.

Dalam laporan yang diterbitkan sempena Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan terhadap Wanita semalam, Amnesty mendedahkan kesan perang terhadap kesihatan fizikal, mental dan reproduktif wanita Palestin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setiausaha Agung Amnesty International, Agnes Callamard berkata, tindakan Israel sejak Oktober 2023 menghalang akses kepada rawatan kesuburan dan menyumbang kepada komplikasi kehamilan, termasuk keguguran serta kelahiran mati.

“Tindakan Israel menghalang akses kepada rawatan kesuburan dan menyumbang kepada komplikasi kehamilan, termasuk keguguran dan kelahiran mati,” katanya pada sidang media. 

Laporan itu turut menyuarakan kebimbangan keadaan berkenaan mungkin disengajakan, namun Amnesty mengakui belum mempunyai asas untuk membuat kesimpulan secara pasti.

Amnesty berkata, kekurangan peralatan perubatan menjejaskan pemantauan kehamilan, rawatan bersalin dan selepas bersalin serta pengesanan komplikasi.

Kekurangan ubat bius dan ubat untuk merawat pendarahan ketika bersalin juga menyebabkan kematian dalam beberapa kes, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kadar kematian ibu dan bayi baru lahir.

Laporan turut memperincikan kes wanita dan kanak-kanak perempuan yang terbunuh atau cedera dalam serangan Israel ketika mendapatkan rawatan atau berada di wad bersalin.

Laporan itu juga menyentuh kes seorang bayi berusia 20 hari yang meninggal dunia pada 2025 akibat jangkitan selepas berkongsi inkubator dengan seorang lagi bayi sakit. 

Susulan itu, Callamard menggesa ICC memasukkan jenayah berasaskan jantina dan kemudaratan terhadap kesihatan reproduktif dalam siasatan terhadap kemungkinan genosid oleh pegawai Israel sejak Oktober 2023.

Sementara itu, COGAT, badan di bawah Kementerian Pertahanan Israel yang menguruskan hal ehwal awam di wilayah Palestin, menolak dakwaan Amnesty dan menuduh badan itu mengulangi ‘naratif palsu Hamas’.

COGAT mendakwa lebih 27,000 tan peralatan perubatan dan ubat-ubatan dibawa masuk ke Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober 2025, manakala 35 hospital masih beroperasi termasuk kemudahan kesihatan wanita dan rawatan kesuburan.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini