PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pentadbirannya mempunyai baki tempoh lebih setahun untuk memperbaiki prestasi kerajaan sebelum berakhirnya penggal semasa.
Beliau berkata, kerajaan akan berusaha melakukan yang terbaik dan memperbaiki prestasi dalam tempoh berkenaan.
“Insya-Allah kita akan buat sebaik mungkin dan kita perbaiki prestasi kita. Kita ada setahun lebih lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meluncurkan Prakarsa AI Pendidikan Negara: “AI TEMU AI” di sini hari ini.
Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar yang genap empat tahun disifatkan sebagai paling stabil selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.
Tempoh pentadbiran Anwar yang lebih lama berbanding tiga orang Perdana Menteri sebelum ini jelas menunjukkan kestabilan yang ada hingga dapat membantu pertumbuhan ekonomi yang konsisten di samping mengukuhkan kedudukannya.
Sejak menerajui negara pada 24 November 2022, Anwar diakui berdepan pelbagai cabaran termasuk memulihkan ketidakstabilan, mengembalikan keyakinan ekonomi, menangani tekanan kos sara hidup serta memastikan politik stabil ekoran kerajaan tergantung selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Namun dalam tempoh itu, langkah memperkenalkan dasar pembaharuan ekonomi dan fiskal menerusi Kerangka Ekonomi Madani meningkatkan daya saing negara, menarik pelaburan dan memperbaiki taraf hidup rakyat berjaya membawa hasil positif. – UTUSAN











