Mahkamah tolak permohonan dua individu cabar penyasaran subsidi diesel

Mahkamah tolak permohonan dua individu cabar penyasaran subsidi diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan dua individu untuk mencabar tindakan Perdana Menteri dan tiga menteri menghapuskan subsidi diesel dan menyasarkan harga runcit di Semenanjung Malaysia.

Keputusan itu dibuat Hakim Norliza Othman selepas berpuas hati permohonan itu tidak memenuhi ambang keperluan (threshold requirement) kerana keputusan yang dicabar merupakan dasar fiskal yang tidak boleh diadili (non-justiciable).

“Setelah mahkamah meneliti keseluruhan permohonan dan hujahan pihak-pihak, mahkamah mendapati dan berpuas hati bahawa tiada arguable case (kes yang boleh dihujahkan) yang boleh dibawa ke peringkat substantif.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Oleh itu, permohonan untuk kebenaran bagi suatu semakan kehakiman ini ditolak dengan kos sebanyak RM5,000,” katanya.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan Azhani Marlan@Abd Halim, 49, dan Mohd Hatta Sanuri, 50, dengan menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dan bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.

Turut disenaraikan ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan kerajaan sebagai responden pertama hingga keenam.

Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Norliza bersetuju dengan hujahan responden yang menyatakan mahkamah tidak seharusnya dilibatkan untuk mencampuri urusan sosial dan ekonomi yang bergantung kepada budi bicara kerajaan.

“Adalah jelas keputusan kerajaan untuk memansuhkan subsidi diesel dan menggantikan dengan subsidi pada golongan bersasar di Semenanjung adalah berbentuk polisi dan tidak menjadikan ia boleh dibuat semakan kehakiman.

“Mahkamah bersetuju dengan hujahan bahawa mahkamah tidak seharusnya dilibatkan untuk mencampuri urusan sosial dan ekonomi yang dilaksanakan demi kepentingan rakyat amnya.

“Jika mahkamah mencampuri urusan pentadbiran yang dibuat oleh pihak eksekutif, ia bertentangan dengan doktrin pemisahan kuasa,” katanya.

Mengenai dakwaan bahawa pengecualian Sabah, Sarawak dan Labuan merupakan diskriminasi yang melanggar hak kesamarataan, Hakim Norliza memutuskan perbezaan layanan itu mempunyai asas yang munasabah.

“Dalam konteks ini, mahkamah mendapati bahawa pengecualian Sabah, Sarawak dan Labuan adalah berasaskan pertimbangan objektif yang dikemukakan responden. Faktor-faktor ini merupakan perbezaan munasabah yang mempunyai kaitan rasional dengan objektif polisi.

“Dasar kerajaan untuk memansuhkan skim tersebut terhasil selepas mempertimbangkan beberapa faktor, yang mana mahkamah ini tidak mempunyai maklumat serta kepakaran relevan untuk menilainya.

“Lazimnya, bukan menjadi bidang kuasa mana-mana mahkamah untuk menimbang baik buruk sesuatu dasar atau menelitinya serta menguji tahap manfaat atau keadilannya bagi tujuan mengubah atau membatalkannya,” katanya.

Dalam permohonan itu, Azhani dan Mohd Hatta memohon antaranya perisytiharan bahawa keputusan semua defendan pada 9 Jun 2024 adalah batal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Ia berhubung penghapusan subsidi diesel dan menyasarkan harga runcit diesel kepada RM3.35 seliter, berbanding RM2.15 sebelumnya (kenaikan 56 peratus), berkuat kuasa 10 Jun 2024 di Semenanjung, namun diberikan pengecualian Sabah dan Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini