Nama jalan, galeri khas dicadang sebagai penghormatan jasa Pak Samad

Nama jalan, galeri khas dicadang sebagai penghormatan jasa Pak Samad

FAHMI Fadzil hadir menunaikan solat jenazah Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri Dr. A. Samad Said di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi akan meneliti cadangan menamakan salah satu jalan di ibu negara sempena Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri Dr. A. Samad Said.

Langkah itu sebagai penghormatan terhadap sumbangan besar tokoh berkenaan dalam bidang kesusasteraan dan kewartawanan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, cadangan itu antara beberapa usaha yang boleh dipertimbangkan bagi mengenang jasa serta mengabadikan legasi Allahyarham.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, terdapat juga cadangan supaya sebuah galeri diwujudkan bagi menghimpunkan karya dan mengenang sumbangan Allahyarham kepada negara.

Beliau berkata, perbincangan awal turut diadakan bersama anak Allahyarham, termasuk mengenai aspek hak cipta dan usaha mengekalkan karya penulisan tokoh berkenaan.

“Jadi nanti insya-Allah kita akan teliti beberapa cadangan ini, tetapi bagi saya yang paling penting kita menghayati karya-karya Allahyarham.

“Beliau juga seorang pejuang hak rakyat dan perkara itu tidak harus kita lupakan,” katanya ketika ditemui pemberta pada selepas solat jenazah Allahyarham di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar di sini.

Fahmi berkata, karya agung Allahyarham juga wajar dipopularkan semula dan diperkenalkan kepada generasi muda.

Sementara itu, Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin berkata, Allahyarham meninggalkan khazanah sastera yang besar meskipun dikenali sebagai seorang insan yang sederhana.

Beliau berkata, sumbangan Allahyarham turut merangkumi perjuangan kemerdekaan dan pembentukan negara bangsa menerusi pemikiran serta karya yang dihasilkan.

“Harapan saya satu sahaja. Generasi muda wajar menghayati peninggalan watak-watak seperti Tan Sri Samad Ismail dan Pak Samad,” katanya.

Terdahulu, solat jenazah Allahyarham yang berusia 91 tahun itu diadakan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, di sini pada pukul 10 pagi tadi sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara untuk dikebumikan.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur di sini pada pukul 6.10 petang semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini