KUALA LUMPUR: Penulis, penterjemah dan penerbit kecil perlu mendapat pulangan setimpal daripada hasil intelektual mereka menerusi usaha memperkukuh ekosistem industri perbukuan negara.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata kejayaan industri perbukuan tidak seharusnya diukur berdasarkan angka jualan, jumlah penerbitan atau saiz pasaran semata-mata.
Sebaliknya turut mengambil kira kedudukan ekonomi dan kebajikan penggiat industri berkenaan.
Katanya, perlindungan hak cipta dan persekitaran industri yang mampan juga perlu diperkukuh bagi memastikan penggiat industri berpeluang berkembang serta menjana pendapatan daripada hasil karya masing-masing.
“Pengkarya perlu dihargai, penerbit baru diberikan ruang dan tenaga kerja industri dipersiapkan dengan kemahiran yang sesuai dengan perubahan zaman.
“Kita mahu industri ini menjana pekerjaan, mengembangkan bakat dan menyumbang kepada ekonomi kreatif negara.
“Adakah penterjemah mendapat pulangan yang setimpal dengan kepakaran mereka? Penterjemah adalah pakar. Mereka melalui proses untuk menjadi seorang penterjemah ini bukan mudah.
“Adakah penerbit kecil mempunyai peluang untuk bertahan dan berkembang? Ini semua persoalan yang harus kita tanya, dan industri yang kukuh mesti memberikan ruang kepada pengkarya untuk hidup dengan hasil intelektual mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Peluncuran Dasar Perbukuan Negara (DPN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
DPN diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos 2026 sebagai dasar nasional yang juga penambahbaikan serta penjenamaan semula kepada Dasar Buku Negara (DBN) 1985 yang diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 November 1985.
Ia diperkenalkan bagi memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia serta memperkasakan industri perbukuan negara agar lebih progresif, mampan dan berdaya saing pada peringkat global.
Sebanyak sembilan DPN diketengahkan termasuk budaya membaca, pendigitalan, literasi undang-undang dan hak cipta.
Turut dirancang penterjemahan profesional, pembangunan profesionalisme serta pusat sehenti pembukuan negara, ekonomi pembukuan baharu, rangsangan serta ekosistem pembukuan inklusif.
Dalam masa sama, Fadhlina mahu industri perbukuan tempatan tidak hanya bergantung kepada pasaran domestik, sebaliknya berusaha membawa karya Malaysia ke peringkat antarabangsa menerusi pengukuhan penterjemahan dan perdagangan hak cipta.
Katanya, Malaysia mempunyai kekayaan bahasa, sejarah, budaya dan pengalaman masyarakat yang boleh diperkenalkan kepada dunia melalui karya tempatan, sekali gus menyumbang kepada perkembangan ilmu serta wacana antarabangsa.
“Kita mahu lebih banyak penerbit Malaysia menjalin kerjasama dengan rakan antarabangsa. Kita mahu buku Malaysia diterbitkan di luar negara, menemui pembaca baru dan mendapat tempat dalam pasaran dunia.
“Kebetulan saya kebelakangan ini banyak membaca tulisan penulis Korea. Jadi itu satu ruang yang sangat baik saya melihat bagaimana terjemahan dilakukan dari bahasa Korea kepada bahasa Inggeris dan kemudiannya bahasa Melayu, melalui karya-karya yang hebat,” katanya.
Mengulas budaya membaca dalam kalangan masyarakat, Fadhlina berkata, kecenderungan generasi muda membaca secara sepintas lalu atau ‘hasty readers ‘serta hanya menata kandungan digital tanpa memberikan tumpuan kepada bahan bacaan mendalam perlu diberi perhatian.
Katanya, walaupun terdapat peningkatan dan pemulihan dalam aspek pembacaan berdasarkan keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), tabiat membaca secara tidak mendalam masih menjadi cabaran yang perlu ditangani.
Beliau berkata, budaya membaca perlu diperkukuh menerusi pendekatan ‘deep reading’ yang bukan sekadar membolehkan seseorang mendapatkan maklumat, tetapi turut membina keupayaan memahami, menilai dan menguasai ilmu.











