DC Healthcare catat untung pada suku ketiga berturut-turut

DC Healthcare catat untung pada suku ketiga berturut-turut

DR. Chong Tze Sheng
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DC Healthcare Holdings Berhad (DC Healthcare) mencatatkan keuntungan bagi suku ketiga berturut-turut, dengan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 12 peratus kepada RM3.26 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026.

Peningkatan itu berbanding RM2.91 juta yang dicatatkan pada suku kedua tahun kewangan 2026, sekali gus menunjukkan pertumbuhan EBITDA bagi dua suku berturut-turut.

Penyedia perkhidmatan estetik perubatan itu turut merekodkan hasil sebanyak RM23.35 juta pada suku ketiga, meningkat tiga peratus berbanding RM22.62 juta pada suku sebelumnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pertumbuhan hasil berkenaan didorong peningkatan kutipan pelanggan yang menyumbang kepada kadar penebusan rawatan lebih tinggi sepanjang suku berkenaan.

Segmen perkhidmatan estetik kekal sebagai penyumbang utama dengan menjana hasil RM21.70 juta atau 93 peratus daripada keseluruhan hasil kumpulan.

Keuntungan kasar turut meningkat kepada RM12 juta berbanding RM11.09 juta pada suku sebelumnya, manakala margin keuntungan kasar bertambah baik kepada 51 peratus daripada 49 peratus.

Keuntungan operasi pula meningkat 34 peratus kepada RM1.64 juta berbanding RM1.22 juta, disokong keuntungan kasar lebih tinggi, peningkatan pendapatan lain serta pengurangan kos kakitangan.

Susulan perkembangan itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan melonjak 68 peratus kepada RM1.13 juta berbanding RM670,000 pada suku kedua.

Keuntungan selepas cukai (PAT) turut meningkat kepada RM520,000 berbanding RM470,000, manakala PAT yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat berjumlah RM660,000.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, DC Healthcare mencatatkan peningkatan hasil lima peratus kepada RM67.33 juta berbanding RM64.22 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Prestasi itu disokong segmen perkhidmatan estetik yang mencatatkan pertumbuhan hasil 11 peratus kepada RM60.83 juta daripada RM54.89 juta, mewakili 90 peratus daripada keseluruhan hasil kumpulan.

Lebih memberangsangkan, PBT bagi tempoh sembilan bulan melonjak 79 peratus kepada RM2.13 juta berbanding RM1.19 juta sebelumnya, manakala PAT meningkat lebih dua kali ganda kepada RM1.10 juta daripada RM430,000.

Dalam tempoh sama, EBITDA kumpulan berjumlah RM8.72 juta, sementara keuntungan operasi meningkat 49 peratus kepada RM3.71 juta.

Peningkatan keuntungan itu turut disokong langkah pengurusan kos yang lebih berdisiplin apabila kos kakitangan berkurangan 13 peratus kepada RM5.76 juta, manakala perbelanjaan pentadbiran susut tiga peratus kepada RM24.55 juta daripada RM25.40 juta.

Pengarah Urusan DC Healthcare, Dr. Chong Tze Sheng berkata, pencapaian keuntungan bagi tiga suku berturut-turut mencerminkan perkembangan positif operasi kumpulan, khususnya apabila pertumbuhan kutipan pelanggan mula diterjemahkan kepada peningkatan penebusan rawatan dan kecekapan operasi.

Katanya, prestasi hasil, margin kasar, EBITDA dan PBT yang lebih baik berbanding suku sebelumnya menunjukkan kumpulan berada pada landasan untuk memperkukuh kedudukan kewangannya.

Menurutnya, kumpulan turut melaksanakan sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) di seluruh operasi sepanjang suku ketiga bagi meningkatkan kecekapan, kawalan kos dan proses membuat keputusan berasaskan data.

“Pelaksanaan sistem itu menunjukkan peningkatan awal dari segi kecekapan operasi, kawalan kos dan pembuatan keputusan berasaskan data.

“Digabungkan dengan aliran tunai operasi yang lebih kukuh serta pinjaman yang lebih rendah, ia menyediakan asas lebih mantap untuk meneruskan pengembangan klinik secara terpilih dan pelaburan dalam inisiatif yang meningkatkan hasil rawatan serta pengalaman pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas prospek, beliau berkata, DC Healthcare akan terus memperkukuh perniagaan teras estetik perubatan menerusi penambahbaikan penawaran perkhidmatan, peningkatan penglibatan pesakit serta pengembangan klinik terpilih di pasaran baharu dan kawasan yang masih kurang mendapat perkhidmatan.

Kumpulan juga merancang memperluas penawaran produk penjagaan kulit dan kesejahteraan bagi memenuhi perubahan pilihan pengguna, sekali gus menyokong pertumbuhan perniagaan jangka panjang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini