Genap 4 tahun terajui kerajaan, Anwar hargai kepercayaan rakyat - Utusan Malaysia

Genap 4 tahun terajui kerajaan, Anwar hargai kepercayaan rakyat

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat atas kesabaran, teguran, doa dan kepercayaan yang diberikan sepanjang tempoh empat tahun beliau menggalas amanah menerajui kerajaan.

Perdana Menteri berkata, empat tahun bukanlah suatu tempoh yang singkat sejak hari pertama beliau mengangkat sumpah ketika negara berdepan pelbagai cabaran getir.

“Hari ini genap empat tahun saya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan menerima amanah mengemudi Kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Empat tahun bukanlah suatu tempoh yang singkat, namun saya masih ingat betapa beratnya amanah ini tatkala negara berdepan pelbagai cabaran.

“Ekonomi tertekan, kedudukan kewangan negara terbatas, sementara rakyat bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.

Kelemahan tatakelola dan amalan rasuah yang sekian lama berakar turut menuntut keberanian untuk melakukan perubahan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Anwar berkata, sejak hari pertama melangkah masuk ke Perdana Putra, tekadnya adalah untuk memulihkan negara dan memperbaiki kehidupan rakyat.

“Bukan suatu perjalanan yang mudah, tetapi amanah ini perlu terus digalas dengan penuh kesungguhan.

“Alhamdulillah sepanjang tempoh empat tahun ini, kita sudah bersama-sama membina asas yang lebih kukuh untuk Malaysia.

Kedudukan kewangan negara diperkemas, tatakelola diperbaiki, reformasi institusi digerakkan dan kebajikan rakyat terus diperkukuh,” katanya.

Anwar turut menegaskan perjalanan pentadbiran masih jauh dan banyak lagi usaha sedang dilaksanakan demi kesejahteraan semua.

“Saya sedar bahawa ukuran sebenar kemajuan negara adalah apabila kehidupan setiap keluarga menjadi lebih baik, rezeki lebih terjamin dan masa depan anak-anak lebih terbela. Itulah yang sedang kita perjuangkan.

“Dengan asas yang sudah kita bina, saya yakin kita mampu melangkah lebih jauh, meringankan beban rakyat dan membuka lebih banyak ruang serta peluang yang adil untuk semua.

“Terima kasih atas kesabaran, teguran, doa dan kepercayaan saudara-saudari sekalian. Selagi diberi amanah ini, akan saya curahkan segala daya dan upaya demi rakyat dan negara yang saya cintai.

“Perdana Menteri boleh datang dan pergi, tetapi nasib rakyat mesti terus dibela dan martabat negara mesti terus diangkat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini