Untung bersih WTS Capital melonjak lebih sembilan kali ganda

WTS Capital catat untung bersih lebih sembilan kali ganda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: WTS Capital Berhad mencatatkan lonjakan keuntungan bersih lebih sembilan kali ganda kepada RM2.94 juta bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2026 (1H TK2027), berbanding RM310,000 dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Peningkatan ketara itu didorong pertumbuhan pesat perniagaan infrastruktur dan penyelesaian pengkomputeran kecerdasan buatan (AI), yang menyumbang kepada peningkatan hasil Kumpulan sebanyak 530 peratus kepada RM200.07 juta berbanding RM31.76 juta sebelumnya.

Syarikat teknologi digital itu turut merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.80 juta, berbanding RM280,000 dalam tempoh sama tahun lalu, manakala keuntungan kasar meningkat 15 peratus kepada RM8.98 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi suku kedua berakhir 30 September 2026 (S2 TK2027), hasil daripada operasi berterusan meningkat 189 peratus kepada RM48.03 juta berbanding RM16.65 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai pula meningkat 71 peratus kepada RM1.41 juta daripada RM820,000, manakala keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat meningkat 78 peratus kepada RM1.49 juta berbanding RM830,000.

Pengarah Urusan WTS Capital Berhad, Dr. Wilson Low Min Yew berkata, pertumbuhan projek infrastruktur dan penyelesaian pengkomputeran AI terus menjadi pemacu utama prestasi Kumpulan.

Katanya, peningkatan margin serta pengurangan perbelanjaan operasi turut membantu meningkatkan keuntungan kasar sebanyak 40 peratus berbanding suku sebelumnya.

“Kontrak infrastruktur AI baharu yang diperoleh pada suku ini masih belum dicerminkan dalam pendapatan kami dan kami sedang berusaha menyelesaikan hasil kerja projek berkenaan supaya ia dapat menyumbang kepada keputusan kumpulan,” katanya dalam kenyataan.

Dari segi prestasi suku ke suku, keuntungan kasar meningkat 40 peratus kepada RM5.24 juta berbanding RM3.74 juta pada suku pertama TK2027, manakala margin keuntungan kasar bertambah baik kepada 10.9 peratus daripada 2.5 peratus.

Bagaimanapun, hasil suku kedua susut kepada RM48.03 juta berbanding RM152.04 juta pada suku pertama TK2027, sejajar dengan tempoh penyerahan projek dan pengiktirafan hasil.

Menurut kumpulan, kontrak baharu berkaitan infrastruktur AI dan penyelesaian pengkomputeran yang diperoleh sepanjang suku berkenaan masih belum menyumbang kepada hasil kerana proses penyerahan projek belum diselesaikan pada akhir tempoh pelaporan.

Hasil daripada kontrak berkenaan akan diiktiraf selepas penyerahan projek selesai.

Dalam perkembangan berkaitan, WTS Capital akan terus memperkukuh pelaksanaan projek infrastruktur dan penyelesaian pengkomputeran AI, selain mengembangkan perniagaan pengedaran perisian perusahaan.

Strategi itu diperkukuh menerusi pelantikan anak syarikat milik penuhnya, Systech Digital Solutions Sdn. Bhd., sebagai pengedar perisian pangkalan data Kingbase di Malaysia pada Ogos 2026 dan pengedar Peringkat Emas bagi Produk Perisian WPS pada Oktober 2026.

Pelantikan itu melengkapi penawaran sedia ada Kumpulan merangkumi AI, Internet Kebendaan (IoT), Perancangan Sumber Perusahaan (ERP), Pengurusan Modal Insan (HCM) serta penyelesaian transformasi digital.

WTS Capital, yang dahulunya dikenali sebagai Systech Bhd., turut memaklumkan tiada sumbangan daripada operasi yang dihentikan bagi suku berkenaan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini