TEHERAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dirakam bekerja di pejabat yang hanya diterangi cahaya malap sambil memakai jaket tebal ketika negara itu mula melaksanakan catuan elektrik susulan kekurangan bekalan tenaga.
Menerusi rakaman yang disiarkan televisyen kerajaan, seorang wartawan mengunjungi pejabat Pezeshkian bagi menunjukkan bagaimana beliau mematuhi gesaan supaya orang ramai menjimatkan penggunaan tenaga.
Kebanyakan lampu di pejabat berkenaan ditutup, namun masih terdapat cahaya semula jadi. Penggunaan sistem pemanas dan penyaman udara juga dikurangkan ke tahap minimum.
Pezeshkian yang bekerja di meja sambil memakai jaket berkata, kerajaan perlu menunjukkan contoh kepada rakyat dalam usaha mengurangkan penggunaan tenaga.
“Lihat, dengan hanya sedikit cahaya dan memakai pakaian panas, kerja masih boleh diselesaikan. Cahaya yang ada sudah mencukupi. Tidak perlu memasang semua lampu ini semata-mata untuk bekerja.
“Jika terlalu sejuk, kita boleh berpindah ke bilik yang lebih kecil dan menghimpunkan rakan sekerja di satu tempat,” katanya dalam rakaman itu.
Iran mula melaksanakan catuan elektrik secara berjadual kepada pengguna berikutan kesukaran mendapatkan bekalan bahan api untuk loji janakuasa, menurut syarikat elektrik milik kerajaan, Tavanir.
Ketua Pegawai Eksekutif Tavanir, Mohammad Allahdad berkata, sekatan bekalan itu pada awalnya dijangka berlangsung sehingga dua jam setiap dua hari, sebelum ditingkatkan kepada dua jam sehari sekiranya suhu terus menurun.
Sekatan terbaharu itu dilaksanakan ketika Iran masih berusaha memulihkan kapasiti pemprosesan gas yang rosak akibat serangan Israel ke atas medan gas South Pars pada Mac lalu.
Pegawai Iran berkata, serangan pada 17 Mac itu merosakkan empat kemudahan pemprosesan gas sehingga menyebabkan kapasiti pemprosesan harian kira-kira 230 juta meter padu terhenti pada awalnya.
Daripada jumlah itu, kira-kira 100 juta meter padu kapasiti sudah dipulihkan, manakala baki 130 juta meter padu masih belum dapat beroperasi.
Pezeshkian turut mengakui serangan terhadap infrastruktur gas negara itu memburukkan lagi keadaan bekalan tenaga.
Jurucakap kerajaan, Fatemeh Mohajerani, sebelum ini memberi amaran kekurangan bekalan gas Iran boleh mencecah 430 juta meter padu sehari pada musim sejuk ini, berbanding kira-kira 300 juta meter padu pada tahun-tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, masalah tenaga Iran sudah berlarutan sebelum konflik tercetus, dengan negara itu berulang kali berdepan kesukaran memenuhi permintaan domestik terhadap gas dan elektrik akibat peningkatan penggunaan, infrastruktur usang, kekurangan pelaburan serta sekatan antarabangsa.-AGENSI











