WASHINGTON: Negara-negara Asia Barat berdepan keperluan mendesak untuk menyusun semula strategi diplomatik dan keselamatan mereka susulan kemenangan besar Parti Demokrat dalam pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) yang dijangka membawa perubahan besar terhadap pendekatan Washington di rantau itu.
Perubahan tersebut penting dan bakal memberi kesan terhadap dasar AS di rantau berkenaan, khususnya berkaitan konflik dengan Iran, keselamatan negara Teluk serta sokongan ketenteraan dan kewangan kepada beberapa negara Arab.
Negara-negara Arab Teluk berdepan cabaran besar untuk memastikan konflik dengan Iran tidak kembali memuncak, memandangkan negara berkenaan berpotensi menjadi sasaran utama tindakan balas Teheran sekiranya perang kembali tercetus.
Serangan terhadap negara Teluk bukan sahaja mengancam keselamatan penduduknya, malah boleh menjejaskan ekonomi global serta model keterbukaan ekonomi dan hubungan antarabangsa yang dibangunkan negara-negara berkenaan.
Dalam keadaan itu, negara Teluk harus bekerjasama rapat dengan wakil Demokrat, khususnya di Senat AS bagi memastikan konflik tidak berakhir dengan Iran memperoleh kelebihan strategik.
Terdapat kebimbangan keputusan Washington untuk menarik diri daripada konflik dan menamatkan sekatan terhadap pelabuhan Iran, sama ada melalui perjanjian atau tanpa sebarang persetujuan, boleh mengukuhkan kedudukan strategik Teheran dalam jangka panjang.
Pada masa sama, penyambungan semula serangan ketenteraan tanpa perancangan jelas untuk mengelakkan kesan buruk juga bukan pilihan yang menguntungkan negara Teluk.
Pakar Politik dan Sarjana Kanan Institut Negara-negara Teluk Arab, Hussein Ibish berpendapat, pengekalan keadaan semasa menerusi tekanan ekonomi terhadap Iran tanpa meningkatkan serangan ketenteraan dilihat sebagai pilihan yang lebih sesuai dalam tempoh terdekat.
“Pendekatan itu membolehkan tekanan terhadap Teheran diteruskan tanpa mencetuskan semula konflik berskala besar, meskipun Iran mungkin melakukan provokasi secara terhad,” katanya.
Sementara itu, Iraq memerlukan sokongan berterusan AS dan negara Teluk bagi mengimbangi pengaruh Iran di rantau berkenaan.
Jordan pula memerlukan sokongan AS dan negara Arab untuk terus memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan di rantau yang tidak stabil itu.
Lubnan juga memerlukan sokongan Kongres AS bagi mendapatkan bantuan untuk memperkukuh keupayaan ketenteraannya, sekali gus membina kekuatan bagi mencabar pengaruh Hezbollah dan mengambil alih kawalan kawasan penting di selatan negara itu.
Menurut Hussein, keupayaan kerajaan Lubnan menguasai kawasan berkenaan dilihat penting bagi menamatkan konflik dengan Israel. Dalam masa sama, Washington perlu meningkatkan tekanan terhadap Israel supaya tidak meneruskan tindakan ketenteraan yang melampaui batas di Lubnan.
Katanya, pentadbiran AS dan Kongres juga perlu menjelaskan kepada kerajaan baharu Israel bahawa Washington tidak menyokong rancangan mewujudkan zon penampan di sekeliling Israel menerusi pengusiran penduduk Arab secara paksa sehingga kawasan terbabit tidak lagi sesuai didiami.
Kebimbangan itu bukan sahaja melibatkan Lubnan, malah turut merangkumi Gaza, Syria dan kemungkinan beberapa kawasan di Tebing Barat.
Selain itu, penempatan ketenteraan AS di Asia Barat, khususnya rantau Teluk, perlu disesuaikan dengan keperluan keselamatan semasa dan cabaran yang dijangka dihadapi dalam beberapa dekad akan datang.
Sebahagian besar kehadiran tentera AS di rantau itu masih berasaskan susunan keselamatan sejak pembebasan Kuwait pada 1990.
Penstrukturan semula kehadiran ketenteraan itu, termasuk menggantikan pangkalan besar dengan lebih banyak kemudahan bersaiz kecil, dilihat berpotensi meningkatkan keberkesanan operasi serta mengukuhkan hubungan AS dengan negara-negara di rantau berkenaan.
Pendekatan itu juga berpotensi mendapat sokongan kedua-dua parti utama AS serta negara Arab di Asia Barat.











