ARAU: Fikiran Ku Haris Zaquan Ku Sofian, 13, kosong dengan tangisan sayu melihat ibunya sudah tidak bernyawa selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Tebuk Tengah, Simpang Empat di sini semalam.
Video remaja itu yang bersandar di sebatang pokok di lokasi kejadian sambil ditenangkan dua pemuda yang tular di media sosial cukup meruntun jiwa.
Lebih menyedihkan, sebelum kejadian, mangsa, Noryshah Umar, 47, dikatakan baharu pulang dari tempat kerja sebelum singgah di kedai bagi membeli bahan masakan untuk menyediakan hidangan sempena hari lahir Ku Haris Zaquan yang merupakan anak bongsunya.
Anak kedua mangsa, Ku Hekmar Dianel Ku Sofian, 21, berkata, Allahyarham begitu bersemangat untuk menyambut ulang tahun kelahiran Ku Haris Zaquan yang merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ahmad.
Katanya, arwah merancang memasak mi goreng dan ingin menyediakan jamuan pada malam semalam.
“Arwah (ibu) sempat singgah membeli barang keperluan selepas pulang kerja sebelum kejadian berlaku. Adik antara yang paling terkesan dan cukup sedih. Insya-Allah, selepas ini saya bersama kakak sulung akan menjaga dan membesarkan adik sebaik mungkin.
“Saya tidak sempat menatap wajah mak buat kali terakhir petang semalam dan hanya kakak sulung yang sempat berada di sisi sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir di lokasi kejadian.
“Sememangnya saya rasa cukup sedih apabila sampai sahaja, mak sudah tiada,” katanya.
Semalam, seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu terbabas merempuh pokok di Jalan Kampung Tebuk Tengah.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal Yamaha Lagenda 115ZR dari Jalan Kampung Serdang menghala ke Kampung Tebuk Tengah.
Katanya, motosikal mangsa terbabas sendiri ke sebelah kiri jalan sebelum melanggar sebatang pokok.
Sementara itu, Ku Hekmar Dianel berkata, sebelum ini, Allahyarham pernah berpesan supaya menjaga adik.
“Pesanan ibu itu dititipkan sebelum saya pergi ke Langkawi baru-baru ini. Ibu menjadi ibu tunggal sejak berpisah dengan bapa ketika saya berusia 10 tahun,” katanya. – UTUSAN











