Minuman tenaga berkafein tingkat masalah jantung golongan muda

Minuman tenaga berkafein tingkat masalah jantung golongan muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Tekanan darah tinggi, keresahan dan sakit dada antara gejala yang dialami golongan muda akibat pengambilan minuman tenaga berkafein, menurut kajian terbaharu yang mengaitkan minuman itu dengan masalah jantung.

Kajian yang dibentangkan pada Sesi Saintifik Persatuan Jantung Amerika (AHA) pada Jumaat itu mendapati minuman tenaga dan suplemen senaman mempunyai kaitan lebih tinggi dengan kejadian kardiovaskular serius, termasuk serangan jantung.

Kajian itu menganalisis lebih 28,000 laporan kesan buruk yang diterima Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) antara 2017 hingga 2025.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hasil analisis mendapati minuman berkafein dikaitkan dengan masalah jantung pada kadar jauh lebih tinggi berbanding produk minuman biasa.

Masalah jantung paling ketara dilaporkan dalam kalangan individu berusia 18 hingga 34 tahun, iaitu kumpulan yang lazimnya tidak dianggap berisiko tinggi mengalami penyakit kardiovaskular.

Walaupun pengambilan kira-kira lima cawan kopi sehari secara umumnya dianggap selamat, sesetengah minuman tenaga mengandungi sehingga tiga kali ganda jumlah kafein berbanding kopi.

Suplemen prasenaman pula berpotensi mendatangkan risiko lebih besar kerana mengandungi sehingga 12 kali ganda kafein bagi setiap auns cecair berbanding kopi biasa.

Pengerusi Persatuan Jantung Amerika, Dr. Gregory Marcus, menggesa lebih banyak kajian dijalankan bagi memahami kesan sebenar minuman berkafein terhadap golongan muda.

Katanya, kajian itu menimbulkan kebimbangan bahawa produk yang mengandungi kafein dalam jumlah sangat tinggi boleh memudaratkan sistem kardiovaskular

Laporan mengenai serangan jantung terhenti didapati kira-kira 11 kali lebih tinggi dalam kalangan pengguna minuman berkafein berbanding produk tanpa kafein.

Laporan berkaitan minuman tenaga dan suplemen pula kira-kira 4.5 kali lebih berkemungkinan melibatkan serangan jantung serta empat kali lebih tinggi dikaitkan dengan gangguan rentak jantung atau debaran jantung.

Kadar denyutan jantung meningkat, sakit dada dan pengsan pula dilaporkan lebih dua kali ganda dalam kalangan pengguna produk yang mengandungi kafein atau bahan perangsang lain.

Hampir separuh daripada laporan yang mengaitkan produk berkafein dengan masalah kardiovaskular melibatkan individu berusia 18 hingga 34 tahun, dengan corak hampir sama dalam kalangan lelaki dan wanita.

Penyelidik dari Sekolah Perubatan Universiti Virginia menganalisis data pangkalan data kerajaan AS bagi membandingkan laporan tindak balas buruk berkaitan produk berkafein.

Produk yang dikaji termasuk minuman ringan, minuman pengganti makanan, bar protein, smoothie dan vitamin.

Kajian itu turut mendapati banyak produk berkenaan dipasarkan sebagai minuman untuk meningkatkan tenaga harian serta dijual di kedai bersebelahan minuman ringan dan air botol tanpa label amaran.

Pakar Perunding Kardiologi Hospital Antarabangsa Moden di Dubai, Dr. Hesham Tayel, berkata beliau semakin kerap merawat golongan muda yang mengalami masalah kesihatan berkaitan pengambilan kafein.

“Kami sememangnya melihat peningkatan kes seperti ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kebanyakan kes bukan melibatkan henti jantung atau serangan jantung yang serius, sebaliknya pesakit muda mengalami masalah jantung selepas mengambil minuman tenaga dalam jumlah besar, lazimnya bersama suplemen prasenaman, produk nikotin, kurang tidur atau senaman intensif.

“Perkara penting ialah minuman ini bukan sekadar kopi dalam tin. Banyak daripadanya mengandungi pelbagai bahan perangsang dan sesetengah golongan muda mengambil beberapa tin dalam tempoh singkat tanpa menyedari jumlah sebenar kafein yang diambil,” katanya.

Kafein meningkatkan aktiviti bahan dalam badan yang menyerupai adrenalin, menyebabkan jantung berdenyut lebih cepat dan kuat, selain meningkatkan tekanan darah.

Banyak minuman tenaga turut mengandungi guarana yang menambahkan kandungan kafein, manakala sesetengah produk prasenaman mengandungi bahan perangsang lain.

Jumlah keseluruhan bahan perangsang yang diambil juga boleh jauh lebih tinggi daripada jangkaan berdasarkan maklumat pada label produk.

Kesan kafein terhadap tubuh turut bertambah buruk apabila digabungkan dengan keadaan kekurangan air dalam badan, seperti yang sering berlaku ketika melakukan senaman intensif.

Pakar Perunding Kardiologi Intervensi Hospital Medcare, Al Safa, Dr Zaidoun Hajali berkata, minuman tenaga kini menjadi sebahagian daripada rutin harian ramai pelajar, golongan profesional muda dan pekerja syif.

“Penggunaannya semakin biasa untuk membantu seseorang menghadapi peperiksaan, waktu kerja panjang, sesi gimnasium dan permainan video hingga lewat malam. Apa yang membimbangkan saya ialah kebanyakan golongan muda ini tidak menganggap minuman tenaga sebagai sumber kafein.

“Apabila saya bertanya mengenai kopi, mereka mengatakan hanya minum secawan. Namun, apabila ditanya secara khusus mengenai minuman tenaga, serbuk prasenaman dan kopi ais, jumlah sebenar yang diambil selalunya jauh lebih tinggi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini