ISKANDAR PUTERI: Lebih daripada 290 kawasan perniagaan di seluruh Johor telah dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan atau ‘hotspot’ aktiviti perniagaan yang dikendalikan individu warga asing termasuk tanpa izin atau permit sah.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, jumlah itu melibatkan kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) sedia ada di negeri ini.
“Sebanyak 90 kawasan dikenal pasti melibatkan tiga PBT bertaraf bandar raya, manakala 140 kawasan melibatkan PBT bertaraf perbandaran dan 60 kawasan di PBT bertaraf daerah.
“Bermula tahun depan, kerajaan negeri akan memperketat undang-undang bagi memastikan hak warga tempatan untuk berniaga kekal terpelihara, termasuk keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada waktu rehat sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Jafni, sejak 2025 hingga September tahun ini, sebanyak 1,092 sitaan; 211 notis dan 511 kompaun terhadap perniagaan dikendalikan warga asing telah direkodkan dengan nilai kompaun berjumlah RM324,500.
“Setakat 31 Oktober 2026, Johor merekodkan 341,343 pekerja asing pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), 5,892 tangkapan PATI bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, dengan tiga kewarganegaraan tertinggi melibatkan Indonesia, Bangladesh dan Myanmar,” katanya.
Pada masa sama, beliau memberitahu kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa khas melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk PBT, Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani isu berkenaan.
“Antara penambahbaikan yang dibincangkan adalah untuk memastikan kaunter-kaunter premis perniagaan dimiliki warga asing dikendalikan warga tempatan, penetapan kuota perniagaan warga asing mengikut kawasan serta beberapa cadangan lain.
“Usaha-usaha ini diambil bagi memastikan pemilik bangunan dan pemilik lesen perniagaan tidak sewenang-wenang memberikan perniagaan berkenaan kepada warga asing untuk diuruskan. Kita tidak mahu rakyat melihat seolah-olah tindakan diambil PBT negeri hanya lakonan semata-mata.
“Sebaliknya, kita nak berikan kesedaran kepada pihak terlibat untuk bersama-sama mengambil tanggungjawab tentang penyalahgunaan lesen oleh peniaga yang menyewakan premis mereka,” katanya. – UTUSAN











