Bahan aneh dilepaskan ketika konsert, ribuan penonton dipindahkan

Bahan aneh dilepaskan ketika konsert, ribuan penonton dipindahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Ribuan penonton dipindahkan dari sebuah konsert di arena tertutup terbesar di United Kingdom (UK) selepas bahan tidak dikenali dilepaskan sehingga menyebabkan beberapa individu mengalami kesan sampingan, menurut polis pada Isnin.

Kira-kira 12,000 orang menghadiri persembahan penyanyi rap Amerika Syarikat (AS), Don Toliver di arena Co-op Live di Manchester, barat laut England pada malam Ahad.

Pasukan kecemasan dikerahkan selepas menerima laporan mengenai penonton yang mengalami kesan daripada bahan tidak dikenali di tengah-tengah orang ramai, menurut polis Manchester yang mengisytiharkan kejadian itu sebagai insiden besar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pegawai Polis Greater Manchester, Steph Parker berkata, beberapa individu menerima rawatan di lokasi kejadian manakala seorang lagi dibawa ke hospital.

Beliau berkata, pihak polis sedang berusaha mengenal pasti jenis bahan berkenaan.

Perkhidmatan Ambulans North West memaklumkan seorang individu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut, manakala lebih 50 orang lagi diperiksa selepas mengalami gejala gangguan pada mata dan sistem pernafasan.

“Saya melihat ramai orang berpusu-pusu keluar dan keadaan mula mencetuskan panik apabila semakin ramai penonton berlari meninggalkan lokasi konsert.

“Lampu dewan dipasang dan penyanyi dibawa keluar dari pentas. Bau yang sangat busuk tiba-tiba menusuk hidung,” kata seorang penonton berusia 22 tahun kepada BBC Radio Manchester.

Pihak pengurusan yang menyifatkan premis itu sebagai arena hiburan langsung terbesar di negara tersebut berkata, mereka bekerjasama dengan polis bagi mengenal pasti punca kejadian.

Kerja-kerja menyahcemar turut dijalankan di lokasi berkenaan.

Toliver, yang pernah bekerjasama dengan penyanyi Travis Scott dan Justin Bieber, kini dalam pusingan kedua jelajah dunia ‘Nitrous’ dan dijadualkan mengadakan persembahan di London pada Isnin.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini