KUALA LUMPUR: Perjanjian pengendalian program Sarjana Pendidikan (SPEND) dan Diploma Pengurusan Lepasan Ijazah (DLPI) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Koperasi Siswazah Bangi Berhad (KSBB) dikenal pasti tidak mematuhi tatacara perolehan kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, perjanjian berkenaan turut melanggar Perlembagaan UKM apabila tidak mendapat kelulusan rasmi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan Kementerian Kewangan (MoF).
Beliau berkata, siasatan PAC turut mendapati KSBB mengutip yuran pengajian secara terus daripada pelajar tanpa mandat sah, selain hasil berkenaan tidak direkodkan dalam akaun UKM.
Katanya, keadaan itu menyebabkan pendapatan universiti menjadi terkurang nyata mengikut piawaian perakaunan awam.
“KSSB juga mengutip yuran pengajian secara terus daripada pelajar tanpa sebarang mandat sah, selain hasil berkenaan disimpan sebagai sebahagian agihan kasar dan tidak direkodkan dalam akaun UKM, sekali gus menyebabkan pendapatan universiti menjadi terkurang nyata mengikut piawaian perakaunan awam.
“Berlaku kegagalan fungsi semak dan imbang di peringkat LPU kerana meluluskan perjanjian atau kertas kerja dengan anggapan saringan rapi sudah dibuat di peringkat bawahan, selain sering bergantung kepada kehadiran wakil MoF dalam mesyuarat tanpa memastikan kelulusan rasmi diperoleh terlebih dahulu.
“Terdapat pendedahan Pejabat Penasihat Undang-undang (PUU) UKM menerima tekanan berterusan termasuk tawaran wang tunai dan tajaan percutian luar negara untuk bekerja hujung minggu bagi memotong giliran semakan undang-undang ke atas kontrak,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, perkara itu antara 10 rumusan hasil prosiding siasatan PAC terhadap kutipan hasil yuran dan perbelanjaan UKM yang dijalankan dari 29 Jun hingga 16 Julai lalu.
Prosiding berkenaan diadakan susulan pendedahan ketidakaturan serius tadbir urus kewangan Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape).
Mas Ermieyati berkata, pengabaian aduan turut dikenal pasti apabila tiada tindakan diambil selama lapan bulan oleh pentadbiran lama UKM sebelum kepemimpinan baharu memulakan siasatan dalaman.
Selain itu, PAC mendapati berlaku konflik kepentingan apabila pegawai UKM memegang jawatan utama dalam KSBB tanpa kebenaran bertulis ketua jabatan.
Katanya, nama pegawai terbabit juga disembunyikan dalam dokumen asal ketika proses semakan dilakukan PUU.
Beliau berkata, konflik kepentingan turut dikesan dalam urusan promosi UKMShape apabila lori bagi tujuan promosi bergerak didaftarkan di bawah syarikat milik anak kandung bekas pengarah pusat berkenaan.
PAC turut mengenal pasti kelemahan dalam Jawatankuasa Siasatan Dalaman UKM apabila pelantikan panel dibuat secara terus oleh Naib Canselor, manakala skop siasatan hanya menyasarkan pegawai bawahan tanpa membabitkan pemutus dasar utama.
“KSSB sudah memfailkan saman sivil menuntut RM2.49 juta di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Mei 2026, manakala UKM memfailkan tuntutan balas menuntut tunggakan yuran RM3.44 juta serta mengeluarkan Notis Pihak Ketiga terhadap bekas Pengarah UKMShape dan Pengerusi KSBB untuk menanggung liabiliti.
“Bagi mengatasi isu tadbir urus, UKM menarik balik status Unit Perniagaan Strategik UKMShape dan mengembalikannya sebagai Pusat Tanggungjawab biasa yang tertakluk sepenuhnya kepada peraturan kewangan Perbendaharaan, selain melaksanakan intervensi bagi memantapkan tadbir urus pengurusan kewangan,” katanya.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, PAC mengemukakan 10 syor utama bagi memperbaiki tadbir urus kewangan UKM dan universiti awam (UA).
Antara syor berkenaan termasuk memperkukuh perlindungan pemberi maklumat dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UKM menyediakan saluran aduan telus di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Katanya, garis masa mandatori juga perlu ditetapkan bagi memastikan setiap aduan disiasat tanpa perlu menunggu pertukaran kepemimpinan universiti.
“Menghentikan kutipan yuran oleh pihak ketiga. KPT dan semua universiti awam (UA) perlu melarang entiti atau syarikat luar mengutip yuran pengajian, sebaliknya semua kutipan hasil perlu dimasukkan terus ke akaun rasmi Jabatan Bendahari universiti secara berstatutori.
“LPU tidak boleh bertindak sekadar sebagai pengesah akhir, manakala wakil MoF dalam LPU perlu memainkan peranan proaktif menyemak pematuhan Pekeliling Perbendaharaan, sebelum cadangan diluluskan.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu menyiasat dan mendakwa pihak terbabit dalam cubaan memberi suapan bagi memotong giliran fail semakan di Pejabat PUU, selain tindakan tegas perlu diambil ke atas sebarang konflik kepentingan, termasuk salah guna aset membabitkan syarikat milik keluarga pegawai universiti,” katanya.
Beliau berkata, UKM dan KSBB juga perlu menjalankan audit pelarasan akaun secara telus bagi memuktamadkan baki tuntutan sebenar kedua-dua pihak, selain meneruskan tuntutan undang-undang yang sedang berlangsung.
“Ahli badan yang menyiasat kes ketakaturan serius akan datang perlu dilantik terus oleh LPU atau KPT, bukannya Naib Canselor dan skop siasatan wajib merangkumi rantaian arahan di peringkat pengurusan tertinggi.
“Aktiviti komersial UA perlu dipindahkan di bawah anak syarikat rasmi yang tertakluk kepada audit syarikat komersial, manakala universiti induk kekal tertakluk sepenuhnya kepada peraturan kewangan awam,” katanya. – UTUSAN











