BOGOTA: Kementerian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Colombia memfailkan tuduhan rasmi terhadap Starlink selepas syarikat itu didakwa gagal mematuhi undang-undang untuk menyekat isyarat telekomunikasi di dalam kawasan penjara negara berkenaan.
Pejabat Presiden Abelardo de la Espriella dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil susulan serbuan di Penjara La Picota yang menyaksikan pihak berkuasa menemukan enam antena satelit Starlink bersama ratusan peranti komunikasi tanpa kebenaran.
Kementerian semalam mengesahkan pihaknya membuka kertas siasatan pentadbiran dan mengemukakan pertuduhan terhadap Starlink Colombia S.A.S. atas dakwaan gagal melaksanakan kewajiban menyekat liputan isyarat di kemudahan penjara serta pusat pemulihan.
Dalam operasi di La Picota itu, pihak berkuasa merampas sejumlah besar peralatan komunikasi termasuk 3,754 kad SIM, 582 telefon bimbit, 38 modem dan enam antena internet satelit Starlink.
Susulan serbuan itu, kementerian menjalankan pemeriksaan di beberapa penjara lain di seluruh negara dan mengesahkan kewujudan rangkaian Wi-Fi Starlink yang aktif di empat lagi pusat tahanan.
Pejabat presiden dalam kenyataan sama memberi amaran segala langkah perundangan dan teknikal akan dikerahkan bagi memutuskan komunikasi haram dalam kalangan banduan.
“Saya mengeluarkan arahan supaya semua instrumen undang-undang dan teknologi yang diperlukan digunakan bagi menghalang penjenayah daripada terus melakukan jenayah dari sebalik tirai besi.
“Kedaulatan undang-undang tidak boleh membiarkan penjenayah mengeksploitasi kelemahan pengendali telekomunikasi serta institusi untuk memeras ugut dan menakut-nakutkan rakyat Colombia yang mematuhi undang-undang,” kata De la Espriella menerusi hantaran di platform X.
Selain Starlink, kementerian turut melancarkan siasatan dan memfailkan pertuduhan terhadap empat syarikat telekomunikasi tradisional iaitu Partners Telecom Colombia S.A.S., Colombia Telecomunicaciones S.A. E.S.P., Comunicación Celular S.A. (Comcel) serta usaha sama Colombia Móvil–Colombia Telecomunicaciones (Tigo) kerana didakwa gagal mengehadkan isyarat mudah alih di La Picota.
“Setiap kad SIM yang digunakan secara haram dari dalam penjara mesti dinyahaktifkan dan sebarang sambungan satelit tanpa kebenaran wajib disekat,” tegas De la Espriella.
Kementerian menegaskan undang-undang Colombia mewajibkan penyedia rangkaian dan perkhidmatan telekomunikasi untuk menyekat isyarat yang meliputi kawasan penjara dan pusat pemulihan.
Jika sabit kesalahan, syarikat yang disiasat berdepan tindakan berat termasuk denda sehingga 15,000 kali ganda gaji minimum bulanan semasa Colombia, penggantungan operasi sementara atau pembatalan lesen dan permit operasi.-ANADOLU








