MB Perak nafi pembubaran DUN

MB Perak nafi pembubaran DUN

SAARANI Mohamad (duduk kanan) bertemu dengan rakyat dalam Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Ipoh, Perak hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ura-ura mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak selepas pembentangan Belanjawan 2027 negeri esok adalah tidak betul dan merupakan khabar angin semata-mata.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Kerajaan Perpaduan negeri setakat ini berjalan dengan baik dan beliau menghargai sokongan berterusan daripada wakil rakyat Pakatan Harapan (PH).

“Tak betul. Kita ada masa panjang lagi, setahun lagi. Tiada keperluan mendesak untuk membolehkan saya menghadap Tuanku Sultan Perak bagi membubarkan DUN,” katanya selepas program Hari Bertemu Pelanggan di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saarani berkata, beliau perlu mempunyai alasan yang munasabah untuk diberikan kepada Sultan Perak jika hendak membubarkan DUN.

Beliau berkata, antara contoh alasan munasabah ialah berlaku kejutan apabila wakil rakyat PH menarik sokongan sehingga menyebabkan kerajaan tidak cukup mandat untuk terus mentadbir.

Katanya, sekiranya alasan yang diberikan tidak kukuh, kegagalan mendapatkan perkenan Sultan untuk membubarkan DUN boleh menjejaskan kredibiliti beliau sebagai Menteri Besar.

Apabila ditanya tentang momentum tinggi yang sedang dialami oleh Barisan Nasional (BN) susulan kemenangan di tiga negeri, Saarani berkata, perkara itu tidak memadai.

“Banyak faktor perlu diambil kira. Adakah kita (BN) bersedia? Datuk Seri Zahid Hamidi (Presiden UMNO) pun dah sebut bahawa kemenangan di tiga negeri tidak bermakna Pahang dan Perak juga akan mengadakan pilihan raya. Saya ikut Presiden,” katanya.

Perak merupakan negeri terawal membentuk Kerajaan Perpaduan sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dengan BN memiliki sembilan kerusi, PH 24 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) 26 kerusi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini