Luah kata-kata romantis, Farid Kamil temui cinta baharu? - Utusan Malaysia

Luah kata-kata romantis, Farid Kamil temui cinta baharu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Farid Kamil mencuri perhatian apabila berkongsi luahan penuh makna mengenai cinta, takdir dan pertemuan dua insan, sekali gus mencetuskan tanda tanya sama ada dirinya kini sedang membuka lembaran baharu dalam kehidupan peribadi.

Menerusi hantaran di Instagram, Farid, 45, memuat naik foto bersama seorang wanita yang identitinya tidak didedahkan, selain menitipkan kata-kata romantis mengenai pertemuan yang dipercayai mempunyai hikmah tersendiri.

Perkongsian itu mengundang perhatian apabila Farid menyentuh mengenai dua jiwa yang dipertemukan pada waktu ditentukan Allah, selain harapan agar hubungan berkenaan berakhir dengan keredaan-Nya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Farid, setiap pertemuan bukan sekadar untuk mengisi kekosongan hati, sebaliknya menjadi ruang untuk saling mengenali, memahami dan memperbaiki diri.

“Dua jiwa, dua perjalanan, dua cerita kehidupan, akhirnya dipertemukan pada waktu yang hanya Allah mengetahui hikmahnya.

“Mungkin kita tidak bertemu untuk sekadar mengisi kekosongan hati, tetapi untuk saling mengenali, memahami dan memperbaiki diri,” tulisnya.

Lebih menarik, pelakon filem Anwar: The Untold Story itu turut meluahkan harapan agar pertemuan berkenaan bukan sekadar menyatukan dua hati di dunia, malah berpanjangan hingga ke syurga.

“Aku tidak menjanjikan perjalanan tanpa ujian. Namun, jika Allah mengizinkan, biarlah langkah ini bermula dengan Bismillah, disertai keikhlasan dan berakhir dengan reda-Nya.

“Mungkin kita dipertemukan bukan secara kebetulan, tetapi kerana ada hikmah yang sedang Allah aturkan.

“Jika benar kita ditakdirkan bersama, semoga bukan hanya di dunia, tetapi hingga ke syurga,” katanya.

Luahan penuh romantis itu sekali gus menimbulkan spekulasi dalam kalangan netizen bahawa Farid mungkin sedang mengenali seseorang atau menemui cinta baharu selepas melalui fasa turun naik dalam kehidupan rumah tangganya sebelum ini.

Bagaimanapun, Farid tidak mendedahkan identiti wanita yang muncul dalam foto berkenaan mahupun mengesahkan status hubungan mereka.

Untuk rekod, Farid pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Diana Danielle pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad serta Nur Aurora.

Pasangan itu pernah bercerai secara dalam talian pada 10 Ogos 2023 sebelum kembali rujuk.

Namun, hubungan mereka berakhir buat kali kedua apabila bercerai talak satu pada 23 Mac 2025.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini