JERANTUT: Sebuah basikal lama jenama Hercules yang dipercayai berusia hampir 70 tahun masih menjadi koleksi istimewa seorang penduduk Kampung Bandar, Pulau Tawar di sini, meskipun pernah beberapa kali dihanyutkan banjir.
Pemiliknya, Syamsul Mohd. Ali Hanapiah, 40-an, berkata, dia membeli basikal berkenaan daripada seorang rakan di bandar Jerantut dengan harga hanya RM20 kerana tertarik dengan nilai antik dan keadaannya yang masih boleh digunakan.
Katanya, pada mulanya rakannya itu bercadang menjual basikal peninggalan datuknya kepada pembeli besi buruk kerana ia sudah lama terbiar di belakang rumah.
“Melihat basikal itu masih boleh digunakan dan mempunyai reka bentuk klasik yang berbeza daripada basikal moden, saya mengambil keputusan membelinya.
“Pada asalnya, basikal itu masih mempunyai cat hitam asal walaupun terdapat beberapa tompokan karat. Ia juga dilengkapi lampu depan dinamo dan loceng, namun semuanya sudah tidak berfungsi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Syamsul, selain bersiar-siar, dia turut menggunakan basikal itu ketika musim durian, untuk ke kebun.
Katanya, basikal itu juga pernah digunakan dalam program kebudayaan dan kesenian di kampung berkenaan sebagai perhiasan dalam persembahan.
Bagaimanapun, katanya, pengalaman paling menarik apabila basikal berkenaan beberapa kali dihanyutkan banjir akibat limpahan Sungai Pahang.
“Setiap kali banjir, basikal itu turut dihanyutkan arus tetapi pernah ditemui semula tersangkut pada pokok rendah tidak jauh dari rumah,” ujarnya.
Menurutnya, keadaan basikal Hercules itu kini semakin berkarat akibat terdedah kepada panas dan hujan, malah dia bimbang sekiranya berlaku kerosakan lebih serius kerana alat ganti yang sesuai semakin sukar diperolehi. – UTUSAN











