PETALING JAYA: Pearly Tan-M. Thinaah membuktikan status mereka selaku beregu wanita No. 1 negara, selepas mengetepikan gandingan muda, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan pada separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong di Grand Hall – Kai Tai Arena, Hong Kong, hari ini.
Pasangan No. 4 dunia itu melakar kemenangan straight set ke atas Zi Yu-Noraqilah yang menghuni ranking ke-41 dunia 21-13, 21-19 dalam masa 35 minit.
Pertemuan itu merupakan kali pertama membabitkan kedua-dua pasangan di pentas antarabangsa.
Pada perlawanan akhir, esok, Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan kedua bakal berdepan beregu No. 11 dunia, Sumire Nakade-Miyu Takahashi dari Jepun.
Pearly-Thinaah pernah tewas sekali di tangan Nakade-Takahashi pada final Terbuka Taiwan, Ogos lalu.
Pearly berkata, dia dan Thinaah sememangnya menantikan pertemuan dengan beregu Jepun sedang meningkat naik itu yang disifatkannya memiliki pukulan variasi seperti Zi Yu-Noraqilah.
“Kami pernah tewas sekali kepada mereka di Terbuka Taiwan. Mereka mengharungi musim yang cukup cemerlang dan menang banyak gelaran.
“Jadi, kami memang menunggu peluang berjumpa beregu ini lagi. Kami juga telah bebas daripada sebarang isu kecederaan, kami mahu menikmati keseronokan perlawanan esok,” katanya kepada wakil BWF.
Mengulas mengenai aksi berdepan junior mereka, Thinaah pula memberitahu, Zi Yu-Noraqilah berjaya menghadirkan tekanan pada pertemuan tersebut dan berhasil memaksa mereka bertahan.
“Zi Yu-Noraqilah juga mempunyai pukulan yang licik sehingga kami sukar untuk membaca permainan mereka. Tidak mudah untuk bertahan ketika mereka menyerang dan saya rasa sikap tenang membantu kami,” ujar Thinaah yang berhasrat untuk belanja junior mereka itu makan malam. – UTUSAN











