PAPAR: Peranan radio amatur sebagai medium komunikasi alternatif perlu terus diperkukuh bagi memastikan penyelarasan operasi menyelamat dan penyaluran bantuan dapat dilaksanakan dengan lancar sekiranya berlaku gangguan rangkaian telekomunikasi konvensional ketika bencana.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, komunikasi adalah aspek penting dalam pengurusan bencana, khususnya bagi memastikan hubungan antara agensi kerajaan, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan kawasan terjejas tidak terputus.
Katanya, bencana berskala besar berisiko menyebabkan gangguan sistem telekomunikasi termasuk internet, rangkaian telefon tetap dan telefon mudah alih, berikutan gangguan bekalan elektrik atau kerosakan infrastruktur pencawang.
“Apabila internet dan rangkaian telefon terjejas, komunikasi juga akan terganggu. Sebab itu, salah satu alternatif kepada sistem telekomunikasi konvensional ialah penggunaan radio amatur.
“Peranan ini penting bagi memastikan komunikasi antara agensi kerajaan dan PKOB di daerah dengan kawasan yang terjejas dapat diteruskan,” katanya selepas merasmikan Program Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana: Radio Amatur Sebagai Komunikasi Alternatif Peringkat Negeri Sabah 2026 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, pengalaman penggunaan radio amatur ketika beberapa insiden bencana sebelum ini, termasuk banjir besar di Papar pada September 2025, membuktikan kepentingan medium komunikasi berkenaan.
Katanya, kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Komunikasi mengambil pendekatan memperkukuh penyelarasan antara MCMC, PKOB daerah dan kelab radio amatur bagi membolehkan perkhidmatan komunikasi alternatif itu diaktifkan segera apabila diperlukan.
Menurutnya, kemudahan berkenaan bukan sahaja membantu melancarkan penyelarasan operasi pengurusan bencana, malah membolehkan keperluan penduduk di kawasan terjejas dikenal pasti dan bantuan disalurkan dengan lebih teratur.
“Antaranya, penyampaian bekalan makanan kepada mangsa bencana, mengenal pasti keperluan lain di kawasan terjejas serta memastikan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, Sabah ketika ini mempunyai 1,313 pengendali atau stesen radio amatur aktif serta 18 stesen pengulang (repeater) yang boleh menyokong pengaktifan rangkaian komunikasi alternatif berkenaan.
Katanya, negeri itu turut mempunyai 12 kelab radio amatur, dengan 10 daripadanya menyertai program berkenaan termasuk Papar Amateur Radio Club (PARC).
Tambahnya, kewujudan stesen pengulang di Papar juga menjadi antara kemudahan penting bagi membolehkan perkhidmatan radio amatur diaktifkan ketika berlaku kecemasan. – UTUSAN











